Ikan Toman atau di kenali sebagai Giant Snakehead dalam bahasa saintifiknya Channa Micropeltes adalah sejenis ikan tempatan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Populasinya terdapat hampir disemua sekitar negara-negara Asean. Rupa yang seakan-akan kepala ular, warna badan yang berbatik garang dengan bentuk badan yang padat seperti memberitahu kita ia sejenis ikan yang amat ganas.
Ikan ini adalah salah satu ikan yang amat digemari oleh semua pemancing casting bukan sahaja pemancing tempatan tetapi juga dari luar negara yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit kerana ingin menduga keganasannya.
Bagi peminat tegar sukan ultralight pula toman dewasa bukanlah menjadi pilihan tetapi toman rempit boleh dijadikan sebagai target yang bersaiz dari 300 gram hingga 1kg kerana ia mampu memberi tentangan yang amat hebat dan mendebarkan.
Sasaran Lokasi
Bagi yang menetap sekitar Kuala Lumpur dan Selangor anda pasti menyedari amat sukar untuk kita memancing pada masa kini kerana banyak lokasi yang telah dipagar atau diubah menjadi kawasan perumahan ataupun pusat komersial. Satu ketika dahulu Puchong di kenali sebagai “Snakehead Heaven” namun akibat pembangunan yang pesat kini banyak lombong yang telah ditimbus. Jadi kebanyakannya kami terpaksa menggunakan boat untuk mencari ikan toman ini kerana landbase tidak lagi praktikal seperti dahulu.
Lokasi yang biasa kami tuju untuk ikan Toman biasanya sekitar Puchong dan Dengkil namun semua ini bergantung pada populasi ikan toman yang ada ketika itu. Adakala kami terpaksa keluar dari Selangor menuju ke arah Negeri Sembilan dan Perak. Kawasan yang penuh dengan puluhan (mungkin ratusan) lombong tinggal biasanya di duduki dengan ikan toman dan juga ikan-ikan dari spesis lain dengan pelbagai saiz. Dan tidak lupa ada juga buaya di kebanyakkan lombong. Jadi pastikan keselamatan menjadi kepentingan utama.
Teknik Pancingan
Setiap pemancing ada teknik tersendiri dan yang pasti lain orang lain cara, lain kawasan lain juga tekniknya. Jadi amat penting untuk anda menyesuaikan diri dengan kawasan dengan mencuba pelbagai gewang yang anda rasa sesuai.
Teknik yang biasa kami pakai ialah dengan membuat casting ke atas samai, rumput atau area-area bereba (yang tidak ketara) dengan menggunakan umpan seperti buzzbait, soft frog, jump frog atau umpan kesukaan kami kicker seperti Boytep, EXP, Sawadi, etc. Berat pilihan kami ialah 7g untuk pancingan ultralight.
Ada yang kata “kau memang gila Cen. Aku pakai 40lb pon tak berani anta gewang kat reba tu. Ko pakai 1lb je kot. Aku pon pening dengan kau ni. Berani lain macam. Tak sayang gewang ke…” Hanya senyuman kepuasan mampu diberi kerana saya percaya hanya dengan keberanian baru akan datangnya hasil. Jika putus (kebanyakan putus) namun setiap kali putus ia akan memberi saya ilmu yang tidak dapat diberi oleh sesiapa pun. Dari sinilah saya akan improvise segala kelemahan dan ubah cara supaya dapat menaikkannya.
Kebiasaan jika memancing di kawasan Puchong seperti di La Cottage kami akan menggunakan katak kicker. Bunyi bising akibat ketukan kaki di permukaan samai dan air membuatkan ikan toman menjadi amat marah dan akan membuat serangan umpama kita ada berhutang dengannya. Setiap letupan bakal memberi kejutan dan saingan sengit kerana ia akan menuju kembali ke sarang dengan rakusnya. Setiap lontaran hati kami sentiasa risau, seram dan berusaha berjaga-jaga namun tidak pernah sekali pun berjaya menenangkan hati ini; tetap seram sejuk. Situasi ini sukar diluahkan dengan kata-kata kerana yang mengalaminya sahaja tahu akan debaran akibat letupan padu toman.
Timing dan balance drag dengan rod ultralight yang anda guna adalah kunci kejayaan. Gunakan rod fast action supaya dapat menahan asakan dan untuk hook up yang lebih cepat. Jadi fokus apabila mencari ikan toman amat kritikal. Leka dan lambat memberi respon mengurangkan peratus kejayaan. Respon spontan adalah amat penting untuk memberi hook up yang sempurna namun peratus hook up yang solid amatlah jarang bagi spesis ini kerana ia mempunyai rahang dan mulut yang amat keras. Di tambah pula dengan rod yang bukan direka untuk tujuan menghentak anda hanya berserah pada nasib supaya matakail masuk ke sekitar rahang yang boleh ditembusi. Amat penting juga dalam memastikan anda berada dalam posisi yang boleh menahan hentakan ikan toman dan mengawalnya secepat yang boleh dengan momentum dan kekuatan rod. Ilmu adalah penting disini dan ia cuma boleh diperolehi dengan pendedahan dan percubaan.
Tidak dapat dinafikan dentuman sambaran ikan toman yang keluar dari sarangnya amat mendesak kami terus mencuba walaupun berkali-kali kecewa. Letupan padu seperti ada hutang umpama dendam yang disimpan bertahun lamanya membuatkan ia amat digeruni.
Pilihan Gewang Ultralight
Bagi kami pemancing ultralight umpan untuk memikat ikan toman adalah faktor yang paling mencabar kerana tidak banyak gewang yang sesuai dalam pasaran. Pemilihan gewang kadang-kadang amat memeningkan kerana tidak semua gewang flexible dan boleh digunakan di semua tempat. Ia bukan seperti medium heavy game dimana hampir semua gewang boleh diguna pakai dimana-mana sahaja.
Game ultralight memerlukan pengalaman dalam menyesuaikan setup dan suasana lokasi pancing. Dalam game ultralight ia semua bergantung kelicikan anda membuat matching dan balancing supaya ia sesuai dengan target ikan yang anda cari.
Gewang yang biasa dan menjadi kesukaan kami apabila membuat ikan toman ialah Buzz Bait Booyah (7g), Kicker (7g), Jump frog, pencil, soft frog, Booyah Spinner bait, popper, minnow, softbaits, spoons dan macam-macam lagi gewang yang sesuai dengan pancingan ultralight.
Waktu Terbaik
Bagi kami waktu terbaik untuk mencari si bujang ialah awal pagi dari pukul 6:30am seawal embun mula menghilang dan lewat petang dari pukul 6:00pm kerana pada masa itulah ia akan keluar/masuk sarang, agak garang dan sentiasa menunggu peluang untuk membuat hentakan dendamnya.
Waktu yang perlu dielakkan ialah masa hujan kerana kawasan lombong adalah kawasan yang amat berbahaya untuk tujuan mancing. Sambaran kilat dikawasan lombong yang terdedah adalah amat kuat dan boleh mendatangkan bahaya. Jika kebetulan masa mancing hujan dan ada kilat berhentilah memancing dan cari tempat berteduh yang selamat dengan cepat. Usah leka, usah bersantai kerana di lombong hujan dan kilat akan datang dengan cepat tanpa anda sedari. Jika anda boating elakkan berada di tengah-tengah lombong dan elakkan meletakkan rod pancing anda dalam posisi menegak kerana sudah banyak sudah kes yang terjadi akibat kilat menyambar rod.
Tangkap dan Lepas
Kebanyakkan pemancing casting biasanya akan membuat tangkap dan lepas atau lebih dikenali sebagai Catch and Release (CNR) untuk menjaga populasi supaya dapat dipancing untuk masa akan datang. Tidak kira apa pendapat anda sama ada memancing dengan set kasar atau set halus seperti ultralight apa yang paling penting ialah cara anda membuat CNR jika di rasakan sesuai. Teknik CNR yang salah atau di anggap betul tidak menjanjikan ia akan hidup. Apa yang penting jika anda jenis pemancing yang membuat CNR pastikan anda belajar ilmu membuat CNR yang betul supaya dapat memastikan ikan dilepaskan kembali ke habitat dengan keadaan yang selamat untuk hidup.
Gambar di bawah ini adalah contoh kesilapan memegang ikan toman yang boleh mematahkan rahangnya. Belajarlah dari kesilapan ini supaya kita dapat buat perubahan untuk menangani ikan dengan cara yang betul.
Jika ikan yang dipancing berada dalam keadaan yang cedera parah seperti insangnya yang koyak/rabak, mata terkeluar, mulut yang hancur akibat hentakan, perut koyak akibat terkena mata kail maka seeloknya anda mengambil ikan itu untuk tujuan makanan. Jika anda tidak memakan toman maka eloklah diberi pada orang yang memakan ikan toman. Jangan dibiarkan mati atau dibuang begitu sahaja.
Spesis Ikan Lain
Selain ikan toman terdapat pelbagai spesis ikan lain dikawasan sekitar Puchong seperti ikan belida, patin, lampam, sebarau, bulan, haruan, baung, talapia, kerapu lombong, peacock bass dan sebagainya.
Ikan-ikan ini masih banyak menghuni dan boleh ditemui walapun ia telah menjadi agak sukar untuk dipancing namun harapan masih ada sebelum lombong-lombong ini ditimbus untuk selama-lamanya.
Kesimpulan
Tujuan artikel ini adalah lebih pada didikan dan memberi tips yang bukan sahaja boleh digunakan untuk pancingan ikan toman tetapi juga ikan-ikan lain. Segala tips pancing dan ilmu yang dicurahkan dalam artikel ini harap dapat digunakan untuk tujuan yang sesuai.
Toman adalah ikan yang amat kuat dan ganas yang boleh membuatkan hampir semua pemancing gian untuk terus menduganya walaupun telah banyak kali menaikkannya. Ada pemancing yang turun mencari Toman hampir setiap hari kerana teruja dengan cabaran yang diberi oleh ikan toman.
Jika anda ingin menduga ikan toman dengan ultralight pastikan anda bersedia untuk menderma gewang kerana peratus putus adalah lebih tinggi dari berjaya dinaikkan. Cara terbaik untuk menaikkannya ialah dengan menggunakan setup yang sesuai dengan sifat ikan itu seperti leader yang kasar dan menggunakan aksesori yang sesuai. Kreativiti amat penting sebelum anda mula mencari spesis yang rakus ini kerana ia mungkin menjadi penyelamat gewang anda dan kejayaan mendaratkannya.
Apa pun jika anda dari sekitar bandar, populasinya makin berkurangan akibat faktor utama iaitu pembangunan dan juga pelbagai sebab lain jadi buatlah terbaik untuk menjaga ikan yang dipancing supaya kita dapat menikmatinya selagi boleh. CNR lah cara yang betul bukan dengan hanya membuat tekaan atau andaian. Tanpa ikan siapalah kita sebagai pemancing.
Dan nota paling penting ikan Toman yang besar tidak sesuai untuk game ultralight. Ultralight bukan untuk ikan besar. Jika anda ingin mencuba risiko adalah di tangan anda sendiri.
Selamat mencuba.
Nota:
Segala informasi yang diberi adalah berdasarkan best efforts untuk meluahkan pendapat dan ilmu yang telah diperolehi. Ayat atau perkataan yang tidak sesuai mungkin telah digunakan dan ia adalah luar kawalan kerana kami telah mencuba sehabis baik. Jika ada cadangan sila komen. Kami akan membuat perubahan.

Hey guys! You can call me Kanicen and I’m a nature lover. I spend most of my time outdoor with fishing. I have to admit that I am not an expert but I will do my best to share with you interesting stuffs I know. I love ultralight game which means I live to challenge myself with UNREALISTIC LOGIC for satisfaction.