Review: Rod Kanicen Nix Sengat [Spinning]

Selepas jenama Kanicen Nix mengeluarkan rod edisi terhad mereka, Leebass, dua tahun lalu, kini mereka hadir lagi dengan memperkenalkan sebuah lagi produk terbaru mereka, Sengat. Sengat hadir dalam dua versi iaitu versi Spinning dan Baitcast(BC). Untuk review ini, saya akan menulis tentang versi spinning.

Nama Sengat diambil daripada pengalaman pengasas Kanicen Nix, iaitu saudara Kanicen sendiri yang telah disengat tebuan bertalu-talu ketika sedang memancing. Beliau mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan rekabentuk rod Sengat.

Spesifikasi rod Sengat:

Nama: Kanicen Nix Sengat
Line rating: 1-6lbs
Maximum lure weight: 7g
Number of pieces: 2 pieces
Rod length: 6′ 7″(Spinning) 6′ 4″(BC)
Rod action: Moderate fast
Number of guides: 8 + 1(tip top)
Guide insert material: SiC
Harga: RM289
Pandang pertama rod Sengat:

Rod ini didatangkan dengan beg yang dibuat dari nylon. Tanggapan pertama saya ketika mula-mula mendapat rod ini ialah, rod ini sangat ringan, di bawah 100g. Namun yang demikian, terdapat banyak lagi rod lain yang beratnya lebih ringan dari rod Sengat sekiranya anda ingin mencari rod ultralight yang paling ringan.

Tapi apa yang pasti, inilah kali pertama saya melihat sendiri rod tip yang betul-betul sangat halus. Bagi saya, inilah salah satu kelebihan dan kekurangan rod Sengat. Kelebihan tip yang halus ialah, daya sensitivi rod sangat tinggi, sesuai dengan kategori rod ini yang disasarkan untuk memburu ikan tarpon/bulan. Bagi anda yang pernah memburu ikan bulan dengan teknik casting, anda tentu tahu yang setiap getuan ikan bulan pada gewang memerlukan sentakan rod untuk mendapatkan strike. Kelemahan rod yang mempunyai tip yang halus pula ialah tak lain tak bukan, kita perlu sentiasa berhati-hati ketika membawa/menyimpan rod kerana 9/10 kes tip rod patah berlaku kerana kecuaian, dan bukannya kerana ditarik oleh ikan.

Dari segi aspek kosmetik rod ini, sememangnya cantik dan menampakkan kualiti dan nilai premium rod Sengat. Warna tema rod ini iaitu oren sememangnya menyerlahkan lagi penampilan rod ini. Lambang ikan tarpon/bulan juga turut diletakkan pada rod untuk memberikan personaliti rod yang disasarkan untuk memburu tarpon/bulan. Pada bahagian pemegang rod, rod Sengat menggunakan sistem micro guide yang dipadankan dengan grip yang diperbuat dari gabus(cork) berkualiti tinggi. Bahagian pemegang rod Sengat juga menggunakan sistem split handle untuk menjadikan berat rod lebih ringan, di samping menjadikan rekabentuk rod ini lebih sesuai dengan imej pancingan teknik casting.
Ujian Lapangan:

Bagi ujian lapangan, setup saya seperti berikut:

Rod: Kanicen Nix Sengat 1-6lb
Reel: Shimano AXUL-SA 500 (Bailess)
Mainline: Berkley Fireline Fused 4lb & Stren Mono 6lb
Leader: Berkley Vanish 6lb

Sepanjang tempoh sehingga artikel ini ditulis, saya telah menggunakan rod ini untuk memancing ikan bulan(target utama rod ini), ikan haruan, ikan kerapu, tengas, sebarau, dan ikan tamok/loban. Di samping itu, saya juga turut mendapat strike tanpa diduga dari ikan bawal pinang. Saya akan huraikan satu persatu pengalaman saya bagi setiap spesis di bawah.

1. Ikan Bulan @ Indo-Pacific Tarpon


Rod Sengat sememangnya direka khas untuk spesis ini. Setiap getuan dan sambaran ikan bulan dapat dirasai dengan jelas dan ini membolehkan saya membuat hook-up dengan pantas, biar pun saya menggunakan tali tangsi. Kalau guna tali benang/braided, lagi kuat boleh rasa setiap getuan/sambaran. Kelebihan lain rod ini ialah, aksi rod moderate fast dan panjang rod iaitu 6 kaki 7 inci. Ciri-ciri ini banyak membantu saya membuat lontaran yang lebih jauh, di samping dapat menaikkan kadar ketepatan lontaran gewang saya pada kawasan boiling ikan ini.

2. Ikan Haruan


Mungkin ada yang sangsi dan tak percaya sekiranya saya kata yang saya guna rod ini untuk memancing ikan haruan. Spesis ini terkenal dengan kehandalannya menyelusup masuk ke dalam celahan samai/rumput dan membuat lompatan akrobatik. Aksi rod moderate fast banyak membantu saya membuat hook-up yang kemas apabila ikan haruan menyambar gewang dan cuba melarikan diri. Rod Sengat juga mempunyai backbone yang cukup kuat untuk memaksa spesis ini keluar dari samai/rumput, tetapi perlulah guna teknik yang betul. Saya kongsikan beberapa gambar di bawah serta gambar ikan haruan bersaiz 1.7kg yang berjaya didaratkan oleh rakan saya, Asmawi Ramli. Entah bila la giliran saya pula nak strike ikan haruan saiz macam tu…

Rakan saya Asmawi Ramli bersama ikan haruan seberat 1.7kg

3. Ikan Kerapu


Spesis ini amat terkenal dengan perangainya yang suka melarikan diri ke celahan batu karang setelah menyambar gewang. Tak kira besar atau kecil, kalau ikan kerapu dah masuk celah batu karang, memang harapan agak tipis untuk tarik dia keluar, melainkan dia yang keluar sendiri[Kadang-kadang kena tunggu sekejap, dia akan keluar sendiri nanti…]. Jadi untuk mengelakkan perkara ini berlaku, setiap getuan dan sambaran memerlukan tindakan yang sangat pantas dari pemancing. Sama seperti pengalaman saya memancing ikan haruan, rod Sengat mampu untuk mengesan sambaran dan mempunyai backbone yang cukup kuat untuk memberi peluang tipis pada ikan kerapu masuk ke celah-celah batu karang.

4. Ikan Tengas & Sebarau


Saya menggunakan micro spoon yang beratnya cuma 1.5g, dan saya tidak mengalami sebarang masalah untuk membuat lontaran tepat melepasi akar-akar kayu, dahan-dahan pokok yang berada di atas sungai kecil. Walaupun hasil tangkapan saya bersaiz sangat ‘comel’, saya tetap berasa puashati kerana inilah lesen tunggal saya menggunakan set ultralight bagi kedua-dua spesis ini.

5. Ikan Tamok / Loban


Memancing spesis ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tersangatlah tinggi. Saya bukan main-main bila saya guna perkataan ‘tersangatlah’ tu. Saya berani jamin sekiranya anda berjaya strike ikan ini yang bersaiz 600g – 1kg++ anda akan sedar yang rupa ikan tamok yang comel, bersopan-santun, dan innocent itu sebenarnya adalah topeng semata-mata. Ikan ini mempunyai stamina dan semangat juang yang sangat tinggi, dan mampu membuat aksi akrobatik. Ya, ikan ini juga mampu membuat lompatan walaupun badannya tembam. Insiden tali terputus, kail terlucut ketika sesi perlawanan akan membuatkan anda tak dapat tidur malam memikirkan apalah dosa dan salah anda pada hari itu…

6. Ikan Bawal Pinang


Spesis ini saya ter’strike’ tanpa sengaja ketika memancing ikan tamok. Ikan bawal pinang memang terkenal dengan perangainya yang suka menghabiskan tali di spool. Tengok ekor pun dah tahu berenang macam pelesit, memang laju dia pergi. Tapi itu saiz yang 500g dan ke atas selalunya, yang paling besar saya dapat cuma 300g tapi dah cukup buat tangan dan bahu saya lenguh.

Rumusan
Setelah hampir dua bulan menggunakan rod Sengat, saya cuba membandingkan rod ini dengan beberapa rod yang pernah saya guna/miliki. Saya dapat rumuskan yang aksi rod ini berada di tengah-tengah di antara keras dan lembut. Keras dan lembut sememangnya subjektif tapi anda boleh anggap rod yang mempunyai aksi fast itu keras, dan rod yang mempunyai aksi slow/parabolic/full bow itu lembut. Sekiranya Hang Tuah kekuatannya terletak pada huruf ‘T’, kekuatan utama rod Sengat pula terletak pada aksinya, tidak terlalu lembut untuk memberi tentangan pada ikan, dan tidak terlalu keras untuk mengesan getuan ikan dan membuat lontaran gewang bersaiz mikro tanpa menjejaskan ketepatan. The best of both worlds.

Namun, setiap benda dan perkara ada kelebihan dan kekurangan. Antara kekurangan rod Sengat ialah tiada hook keeper seperti yang terdapat pada rod Leebas sebelum ini. Tip rod ini juga sangat halus dan ini menjadikan anda perlu sentiasa berhati-hati ketika membawa/menyimpan rod ini. Tulisan pada rod juga senang tertanggal kerana bahagian ini tidak dilindungi dengan lapisan epoxy. Akhir sekali, harga rod ini iaitu RM289 menjadikan rod ini tergolong di dalam kategori rod premium. Tapi, macam orang kampung saya selalu cakap, you get what you pay for.

Setelah dipertimbangkan segala kelebihan dan kekurangan rod ini, saya tetap percaya rod yang berharga RM289 ini berbaloi untuk dimiliki oleh mereka yang baru nak cuba-cuba pancingan ultralight dan juga pada mereka yang dah lama tapi masih lagi mencari rod yang sedap. Saya percaya dan yakin belum ada lagi rod yang seperti ini di pasaran Malaysia buat masa ini. Atas sebab inilah rod Sengat telah menjadi rod utama saya sekarang, cuma kadang-kadang tu saya guna juga rod lain, risau nanti merajuk pulak rod-rod lain tu.

Sekian sahaja review saya mengenai rod Sengat. Saya yakin dan percaya pihak Kanicen Nix akan mengambil kira segala kelebihan dan kekurangan rod Sengat untuk dijadikan rujukan di masa hadapan bagi menghasilkan rod ultralight seterusnya yang lebih baik lagi.

Saya harap anda yang membaca artikel ini dapat memaafkan saya sekiranya ada kekurangan dari segi penggunaan bahasa dan bahasa pasar. Saya janji lepas ni saya buat lagi.

Akhir kata dari saya, majulah sukan memancing ultralight untuk Malaysia, dan sokonglah produk tempatan.

Bat

Pemancing biasa yang baru terjebak dalam dunia Ultralight Fishing. Oh indahnya~

Check Also

Review: Weebass Mini 2016

Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk membuat ulasan penuh tentang reel ultralight bersaiz 500 iaitu Weebass …

7 comments

  1. Terbaik review cikgu Huzairy! Nak komen apa pun xtau la, tp experience pakai Sengat, mmg akan rasa Dr ujung rambut smp ujung jari kaki dia punya feel bila strike. Hahahaha

  2. Sengat Baitcaster version
    • Price : Good ( after international shipment and tax)
    • A crank bait rod type with a beautiful bending curve, strong enough backbone for UL size fish. My comfortable casting zone using Sengat between 1,5 to 5 grams.
    • Ring guides spaces and sizes are just right. It protects the blank from lines and still light/small enough to be placed on that skinny blank.
    • Reel seat is nice but its placement made me a bit confused. Given that rod length, I prefer to have it 2-3 cm further up to the tip. So I can have better handling to do two hand cast and still comfortable enough to jerk/twitch when playing light lures without having rods butt bumping to my lower arm. At current time, I put a piece of lead and duct-tape it to its butt, to help me with the balance. ( Reel : 140 gr)
    • Build quality is good, attention to every detail. I don’t care much about its look, but its good to have especially when you like taking pics.
    • What would I like to add to the current built? Sensitivity and less weight.

    • Kanicen Nix

      Hi bro Widy,

      Awesome. Very detailed and straight forward. Appreciate all your feedback and suggestions. Will definitely look into it on our future rod.

      Thanks again for the support. #IndonesiaUltralightAnglers 🙂

      • You are very welcome Brother, never enough to say thank you for giving us privilidge to use one of your designed rod that you’ ve put alot of effort into it. I personally learn alot from it, your passion, your knowledge, your experience, your spirit, your energy and your process untill became what you are now, and that values makes the rod priceless ..

  3. Salam..
    Saya baru 2 bulan guna rod sengat..
    Apa yang saya boleh komen, rod ni sangat2 sensetif walaupun ikan kecil..terasa kepuasan bila memancing walaupun hasil pancingan hanya bersaiz comel-comel..hari-hari kena bebel dengan bini sebab ketagih guna rod yg sensetif walaupun ikan kecil yg strike..balik keja terus memancing tapi ikan tak bawa balik..akhir kata kepada yang belum memiliki rod sengat, cepat2 la beli sebelum anda mendengar cerita & pengalaman kawan yang guna tapi anda belum merasa dan lebih malang kehabisan stok..
    Untuk bro kanicen nix – bini saya marah sebab buat rod yang boleh mendatangkan ketagihan pada pemancing..hahaha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*