Punca Tali Bersimpul / Wind Knot Pada Setup Spinning

Meehun atau Bihun atau Tali Berbelit atau Tali Bersimpul atau Wind Knot terjadi hampir pada semua pemancing. Lebih-lebih lagi pada pemancing yang suka menggunakan lure / gewang / umpan yang ringan. Boleh dikatakan semua pemancing akan frust apabila tali berbelit semasa memancing. Ada yang mungkin terfikir “ingatkan kat BC sahaja tapi spinning pun ada”. Kita semua biasanya akan mencuba pelbagai cara untuk betulkan tetapi tetap kena juga wind knot.

Masa ini mesti terfikir rasanya elok je isi tali dalam reel.. ngam-ngam. Takda pun terlalu lebih. Tapi jadi juga isu tali berbelit ni. Cast je umpan mesti jadi lagi-lagi gewang yang ringan. Ishhh… Macam pakai BC lak ni. Stress. Pening sebab nak keluarkan tali halus bersimpul bukan mudah. Buat geram je, boleh juling mata. Silap-silap tak tahan mesti potong. Dah bazir tali pastu mesti akan fikir macam-macam benda start dengan sumpah seranah.

Jadi persoalannya sekarang ialah mengapa ia terjadi? Dan bagaimana hendak elakkannya? Apa yang penting ialah memahami punca utama terjadinya tali berbelit / wind knot. Di sini saya share beberapa faktor utama yang menjadi punca utama stress anda.

1. Setup Tidak Balance dan Matching

Masalah

Antara masalah yang paling biasa pemancing buat ialah setup tidak balance dan matching. Pasti ramai terkejut kerana majoriti pemancing berandaikan selagi setup rod, tali dan reel balance sepatutnya semua akan okay. Tetapi realitinya balance dan matching bukan pada setup sahaja sebenarnya macam-macam lagi, ia lebih kepada keseluruhan setup, style pemancing, pemilihan aksesori, kesesuaian umpan, kesesuaian dengan target ikan, kesesuaian lokasi pancingan dan teknik. Semua ini adalah perkara utama lagi-lagi dalam game ultralight. Hampir semua pemancing ultralight membuat kesilapan di mana rod, tali, reel tidak kena dengan pemilihan gewang / umpan dan lain-lain.

Contoh Setup:

Rod: 2-6lb
Tali: 6lb
Reel: Saiz 500
Umpan Softbait Geli-Geli Dengan Jighead 1.5g (berat total 1.7g)

Tahukah anda pemilihan kombinasi di atas adalah tidak begitu sesuai? Mengapa?

Rod 2-6lb biasanya berat gewang yang ideal dan mudah untuk dibuat lontaran / casting ialah dari 2g ke 6g (common sense / pemahaman logik). Tetapi berat umpan (berdasarkan contoh di atas) ialah 1.7g di mana ini akan membuatkan lontaran menjadi agak sukar dan boleh menyebabkan tali berbelit lebih-lebih lagi apabila adanya angin yang kuat. Berat umpan adalah terlalu ringan untuk setup ini.

Saiz reel juga akan memberi kesan dan menambah punca terjadinya isu tali bersimpul / wind knot ini di mana spool yang kecil akan menyukarkan proses casting akibat geseran yang lebih pada spool yang sempit. Tali susah untuk keluar dengan smooth dari spool yang sempit.

Ditambah pula dengan tali berpoundage 6lbs (yang biasanya berdiameter dari 0.08mm-0.12mm) akan menyukarkan lontaran gewang berat yang ringan dari 6g.

Penyelesaian

Dengan contoh setup di atas pemilihan umpan yang paling ideal ialah berat sekitar 4g-6g (lagi rendah akan lebih menyukarkan) dengan tali 6lb dan jika anda menggunakan tali 4lb pemilihan gewang berat sekitar 3-6g lebih sesuai dan jika anda menggunakan tali 2lb umpan seringan 2g boleh digunakan tetapi jika menggunakan gewang yang lebih berat mungkin akan memberi kesan pada tali keluar lebih laju dan boleh mengakibatkan tali bersimpul atau lebih teruk putus. Namun anda harus ingat ya semua ini bergantung pada keseluruhan pemilihan setup anda. Semua ini juga bergantung pada diameter tali itu dan lembutnya tali itu. Ada tali mempunyai diameter yang halus tetapi keras.

ultralight-anglers-tali-yang-dimasukkan-pada-paras-yang-betul-daiwa-ltd

Pemilihan reel yang tidak betul juga akan memberi kesan pada semua ini. Elakkan penggunaan reel yang sempit / kecil / dalam spool nya lebih-lebih lagi jika anda menggunakan tali yang keras dan kasar diameternya. Mungkin memilih reel spool yang lebar atau spool yang cetek (shallow spool) dari saiz 800 ke 2000 adalah lebih sesuai supaya ia melancarkan pengeluaran tali semasa membuat lontaran. Kebiasaan reel-reel yang murah akan lebih teruk kesannya kerana ia tidak di reka untuk mengelakkan masalah-masalah yang ada.

Memilih tali utama juga amat penting kerana ini akan memberi kesan yang paling tinggi secara keseluruhan. Tali pancing yang kasar dengan diameter yang tebal akan menyukarkan apabila anda membuat lontaran. Tidak semua tali di label betul ikut poundage atau diameter sebenar jadi anda harus bijak semasa membeli tali yang sesuai dengan pancingan ultralight. Nasihat saya beli dari pengeluar yang proven.

Jadi untuk memahami semua ini nasihat saya ialah anda mencubanya sendiri. Apa yang saya beri ialah idea pada anda. Agak sukar untuk diluahkan dengan ayat yang tepat.

2. Pengisian Tali Pancing

Masalah

Ramai pemancing suka mengisi tali pancing sebanyak yang boleh atau paksa masuk berlebihan atau ngam-ngam pada spool kerana tidak mahu membazir. Tali akan kelihatan seperti mengembang seperti mahu tersembur keluar. Ini adalah kesan pertama puncanya terjadi tali bersimpul kerana tali tidak menegang dalam spool. Biasanya tali yang tersembur tu akan jadi “seketul” seperti berbelit.

ultralight-anglers-punca-tali-berbelit-digging-terbenam-melekat

Penyelesaian

Apabila mengisi tali pancing pada reel pastikan tidak terlalu penuh / berlebihan atau ngam-ngam border spool. Elakkan buat benda ni kerana ini adalah sebab utama tali bersimpul kerana tali tidak berada dalam posisi yang betul. Pengeluar yang bagus sentiasa memberi ratings / panduan pada reel mereka sebagai contoh 100/6lb 140/4lb 160/2lb dengan memberi info diameter tali yang sesuai. Jadi berdasarkan info ini anda boleh memilih tali yang sesuai dengan reel anda supaya tidak mengisinya dengan berlebihan.

ultralight-anglers-info-pada-spool-reel-diameter-poundage-panjang-tali-yang-boleh-dimasukkan

Jika terjadi tali tersimpul dan mahu elakkan perkara ini bermulalah dengan mengeluarkan tali anda dari reel dan isi kembali. Semasa mengisi kembali pastikan tali di regangkan semasa di isi. Ini untuk memastikan tali yang di isi ke dalam spool tidak longgar yang boleh mengakibatkan isu tali bersimpul akibat kurang regangan. Dan sebaiknya kurangkan tali supaya tidak berlebih atau ngam-ngam berada pada border spool reel anda.

3. Pemilihan Tali dan Shock Leader

Masalah

Kebanyakkan pemancing sentiasa membuat kesilapan apabila memilih tali utama untuk memancing. Mereka sentiasa terlalu percaya dengan apa yang di tulis pada kotak tali pancing akan sesuatu diameter dan poundage tali. Biasanya mereka tidak akan membuat sebarang perbandingan dengan tali jenama lain. Yang penting pada mereka ialah ia kuat boleh tarik lembu, panjang dan dijual dengan harga yang murah. Nak kualiti tapi murah. Tak salah kerana mungkin tiada rakan yang memberi info yang betul tetapi anda perlu berubah untuk kepuasan yang maxima.

Sedikit info tambahan, info fakta yang perlu anda tahu:

  1. Tali yang bagus TIDAK AKAN dijual dengan murah.
  2. Tali yang halus LEBIH MAHAL dari tali yang kasar kerana proses pembuatannya yang lebih kompleks.
  3. Dan tali UL TIDAK KUAT dan TIDAK LASAK seperti tali kasar. Ia seharusnya mudah putus ikut pada poundage sebenarnya. Jangan mudah terpengaruh dengan iklan nampak macam hebat.

Begitu juga dengan pemilihan shock leader. Leader yang tebal boleh menyebabkan knot tersangkut pada cincin rod yang akan menjadi punca tali berbelit pada bahagian tip rod. Lebih kerap ia terjadi tanpa anda sedari tali telah mula digging / terbenam / overlap pada spool akibat tersangkut. Agak sukar untuk dijelaskan menggunakan ayat tetapi tali anda seperti “terhentak” di hujung rod dan tali “mengembang” longgar di bahagian spool di mana kesan yang bakal terjadi ialah tali terbenam / overlap tanpa anda sedari apabila anda menarik tali dihujung tip.

Penggunaan knot yang tidak sesuai juga antara punca penyumbang pada tali berbelit akibat saiz knot yang tebal melanggar / tersangkut pada guide / cincin rod anda. Setiap kali ia tersangkut / terhentak akan wujud 2 masalah utama iaitu tali berbelit pada tip dan tali di spool akan merenggang dan mula longgar.

Penyelesaian

Sesuaikan pemilihan diameter tali dengan reel anda bukan sekadar membeli tali utama berdasarkan kekuatan atau poundage nya. Rajinkan diri mencuba tali dari brand yang proven dan dipercayai. Bandingkan diameter tali pancing yang anda beli dengan beberapa jenama terkenal yang lain untuk memastikan kesahihannya. Tali dari jenama yang besar tidak akan meletakkan diri mereka dalam situasi yang boleh mendatangkan masalah kerana ini jenama mereka bukannya produk rebrand.

Jadi semasa membuat pemilihan tali utama pastikan diameternya sesuai dengan reel yang anda beli. Setiap tali dan reel yang betul buatannya akan sentiasa memberi info tentang produk mereka. Dan seharusnya akan ada info kesesuaian diameter tali yang boleh di jadikan sebagai panduan. Jika anda tidak peka terhadap perkara ini maka percayalah ia akan memberi masalah seperti tali berlebihan apabila di isi pada reel yang menjadi punca isu-isu wind knot / tersimpul kerana silap memilih tali.

Pemilihan tali utama juga harus disesuaikan dengan rod pancing anda. Tidak semua rod direka untuk tali braided jadi anda harus tahu tujuan rod itu direka dan tidak semua tali braided sesuai dengan sesuatu rod. Banyak faktor-faktor lain yang akan mempengaruhinya.

Memilih shock leader juga amat penting untuk memastikan proses “casting” anda tidak terganggu akibat dari kesilapan memilih saiz leader yang sesuai. Biasanya jika tali utama anda berpoundage 6lbs kali lah dengan 2 = 12lbs adalah pilihan shock leader yang bijak. Jika anda memilih 4lbs untuk tali utama maka di kali 2 = 8lbs untuk shock leader boleh digunakan. Namun harus diingat semua ini bergantung secara keseluruhan setup anda. Kadang-kadang rod pancing anda menggunakan cincin micro bersaiz kecil jadi ini akan memberi sedikit gangguan jadi membuat pemilihan diameter shock leader yang sesuai boleh mengelakkan isu-isu yang tidak di ingini.

Pastikan knot yang sesuai digunakan apabila anda ingin menggunakan shock leader. Tidak semua knot sesuai dengan semua rod anda. Biasanya untuk game ultralight FG knot adalah yang terbaik dan versatile.

4. Elakkan Tarik Tali

Masalah

Masalah ini adalah lebih pada amalan di mana pemancing suka menarik tali keluar dari reel untuk dapatkan “load” atau jarak umpan dari tip rod. Ia lebih pada cara untuk adjust sebelum casting / membuat lontaran.

Amalan ini boleh membuatkan tali digging / terbenam / silang (overlap) antara satu sama lain (seperti melekat) dan menjadikan ia antara punca tali bersimpul akibat tersekat.

Penyelesaian

Elakkan “amalan” ini pasti akan dapat kurangkan masalah tali digging / terbenam /  melekat / overlap (silang) antara satu sama lain.

Jika anda masih alami isu ini keluarkan gewang yang berat atau batu ladung yang sesuai beratnya dengan rod anda dan buat lontaran sejauh yang boleh ke dalam air dan mula membuat karauan. Jika boleh jerk sedikit untuk memberi regangan supaya tali masuk ketat ke dalam spool. Anda juga boleh memegang tali dan beri sedikit tekanan supaya tali masuk ke dalam spool dengan regangan yang betul. Namun cara ini akan mengurangkan sahaja.

Cara terbaik ialah dengan mengeluarkan semua tali dan masukkan kembali ke dalam spool dengan regangan yang sesuai. Pegang tali menggunakan 2 jari anda untuk memastikan tali akan masuk tanpa twist / berpintal.

5. Penggunaan/Pemilihan Gewang Tidak Sesuai

Masalah

Sebagai pemancing kita akan menggunakan pelbagai jenis umpan antaranya gewang top water seperti pencil dan popper, soft bait, micro spoon, spinner bait dan sebagainya. Setiap umpan yang digunakan mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan akan mengakibatkan pelbagai masalah yang tidak kita ketahui.

Contohnya:

  1. Menggunakan spinner / micro spoon yang tiada swivel akan membuatkan tali anda berpintal di mana ia juga akan menjadi antara punca terkenanya wind knot / tali bersimpul.
  2. Menggunakan gewang seperti popper di mana tali yang masuk ke dalam spool menjadi longgar apabila anda membuat aksi karau pop… karau pop. Ini kerana tali yang dikarau masuk ke dalam spool tidak mempunyai regangan yang stabil / konsisten. Perkara ini tetap akan terjadi tidak kira apa anda buat walaupun anda membuat aksi pop dengan menegangkan tali.
  3. Penggunaan gewang yang ringan antara punca tali yang masuk tidak mempunyai regangan yang sesuai dan menjadi longgar. Dan ia juga penyumbang kepada tali bersimpul / wind knot.
  4. Gewang ringan yang tidak sesuai dengan rod dan tali anda adalah antara punca lain tali berbelit di depan spool.

Penyelesaian

Cara terbaik untuk menyelesaikan isu ini ialah dengan menggunakan berat gewang yang sesuai dengan setup yang anda guna. Pemilihan berat gewang yang sesuai akan meminimakan segala isu-isu yang ada seperti di atas.

Apabila menggunakan spoon amalkan selepas membuat karauan biar ia berpusing sebelum membuat lontaran lain. Ini untuk mengelakkan tali berpintal dengan lebih teruk. Atau gunakan swivel supaya tali tidak berpintal semasa membuat karauan.

Penggunaan gewang top water seperti popper yang menjadi antara punca tali berpintal / wind knot juga boleh di elakkan dengan membuat lontaran gewang / batu ladung yang lebih berat dan membuat karauan sambil membuat aksi jerk berterusan supaya tali menegang masuk ke dalam spool. Ini juga boleh di buat apabila menggunakan gewang yang ringan. Ulangi step ini beberapa kali supaya dapat mengurangkan tali berpintal.

Namun cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan mengeluarkan tali dan memasukkan kembali dengan memberi regangan yang sesuai sambil memegang tali dengan 2 jari anda untuk meleraikan pintalan yang ada. Anda boleh lakukan ini apabila berada di rumah santai-santai tengok tv 🙂

6. Angin

Masalah

Angin yang kuat adalah antara penyebab tali bersimpul / wind knot. Masalah angin ini biasanya ia datang tanpa di duga. Pemilihan gewang yang kurang sesuai seperti terlalu ringan atau tidak memotong angin boleh menyebabkan tali mudah tersimpul.

Angin akan membuatkan lontaran gewang anda menjadi sukar akibat tali yang keluar dari spool tidak teratur / lancar. Ini akan mengakibatkan tali menjadi kendur di dalam spool seperti mengembang dan boleh mengakibatkan tali tersimpul. Ini sama macam penggunaan reel bait casting apabila ada angin akan menyukarkan casting. Masalah terbesar reel bait casting ialah angin punca meehun / bihun / bird nest.

Penyelesaian

Elak membuat lontaran melawan angin lebih-lebih lagi jika anda menggunakan gewang yang ringan. Gunakan berat gewang yang sesuai dengan rod/tali dan bentuknya supaya dapat memotong angin.

Ada satu lagi cara yang kurang digunakan oleh pemancing-pemancing di Asia Tenggara iaitu line control menggunakan jari telunjuk. Biasanya pemancing bait casting yang akan membuat “thumb” menggunakan ibu jari pada spool untuk kawal tali berbelit apabila ada angin. Tujuan yang sama cuma jari yang berbeza. Tahukah anda bahawa setup spinning juga boleh menggunakan teknik yang sama? Caranya ialah dengan menahan sedikit tali di hujung spool supaya tali yang keluar tidak terlalu banyak. Sama konsep seperti kita control tali yang keluar pada reel bc. Namun untuk orang asia tidak semua boleh buat teknik line control ini kerana jari orang asia biasanya pendek hahaha 😛

Apapun, ingat tidak semestinya teknik ini dengan jari telunjuk sahaja. Anda boleh modify teknik ini menggunakan tangan yang free untuk control tali cuma kena cepat jika mahu menggunakan 2 tangan. Anda cast dan pegang tali (pegang lembut) dengan jari telunjuk dan ibu jari untuk control tali keluar apabila ada angin. Ingat semua bergantung pada kreativiti kita.

Dan jangan lupa jika anda ada melalui isu angin ini pastikan anda mengeluarkan tali dari reel (di rumah) dan masukkan kembali ke dalam spool dengan memberi regangan yang sesuai.

7. Saiz dan Berat Reel Yang Kurang Sesuai

Masalah

Ini adalah masalah yang paling biasa semua pemancing biasa buat. Kebanyakkan pemancing suka memilih saiz reel yang terlalu kecil dan spool yang dalam atas faktor yang biasa iaitu ringan. Tetapi tahukah anda bahawa ini adalah kesilapan yang paling ketara penyumbang terjadinya semua isu-isu berbelit / wind knot / tali bersimpul seketul dan punca tali tersangkut?

tali-digging-terbenam-kerana-saiz-spool-yang-kecil

Pemilihan reel yang mempunyai spool dalam akan menyukarkan aktiviti casting anda kerana tali akan berlaga lebih pada dinding spool yang sempit serta menyebabkan geseran (friction) yang lebih. Tidak kiralah berapa halus diameter tali anda, bertapa hebat rod anda atau bertapa mahal reel anda ia tetap akan menjadi punca terjadinya wind knot dan pelbagai isu lain. Reel yang mempunyai spool yang dalam adalah tidak sesuai digunakan untuk membuat lontaran gewang-gewang yang ringan.

ultralight-anglers-punca-reel-spool-dalam-tali-keluar-tidak-smooth

Berat reel yang keterlaluan juga boleh mengakibatkan terjadinya tali bersimpul. Ini biasanya terjadi apabila anda menggunakan rod yang pendek kerana ia tidak balance dengan reel yang berat akan menyukarkan apabila membuat lontaran.

Penyelesaian

Pilih saiz reel yang sesuai dengan panjang rod anda. Pilih diameter tali yang sesuai dengan saiz ratings pada reel anda. Dan pilihlah berat gewang yang sesuai dengan saiz reel, tali dan rod anda.

Nasihat kami ialah jika anda suka menggunakan reel yang saiz nya 500 elak memilih reel spool yang dalam. Setakat ini yang mudah di dapati saiz 500 dengan shallow (cetek) spool ialah Shimano Soare 500s. Kebanyakkan reel brand lain memang dalam spool nya. Jadi antara saiz yang kami cadangkan ialah 800 ke atas. Paling ideal ialah saiz 1000 atau model shallow spool biasanya sesuai dengan semua rod. Kebanyakkan pengeluar juga menggunakan reel saiz 1000 sebagai benchmark.

ultralight-anglers-tali-yang-dimasukkan-pada-paras-yang-betul

Jika anda masih mahu menggunakan saiz reel bawah 1000 pilihlah rod yang lebih pendek dari 6 kerana rod yang pendek lebih sesuai dengan saiz reel yang begitu kerana anda boleh “feel” dan kawal semasa membuat lontaran. Banyak lagi faktor lain yang perlu di ambil kira kerana ia lebih teknikal yang memerlukan penjelasan yang lain. Namun, dalam artikel ini saya mudahkan penjelasannya sebagai asas yang boleh anda fahami dan praktikkan. Panjang sesuatu rod perlu diambil kira supaya ia sesuai dengan berat dan saiz reel yang ingin digunakan.

Biasanya reel yang berat dan spool yang dalam lebih sesuai digunakan untuk game vertical drop seperti jigging, mancing udang, mancing kolam, pancingan bersantai yang tidak menggunakan gewang yang ringan atau yang tidak memerlukan aktiviti lontaran yang berterusan seperti “casting”.

8. Casting Secara Paksaan

Masalah

Seringkali terjumpa pemancing ultralight yang suka membuat lontaran secara paksaan. Kunun-kununnya hendak membuat lontaran yang jauh dan tepat. Tetapi tahukah anda ini adalah teknik yang tidak betul dengan pancingan ultralight? Pancingan ultralight seharusnya relax dan bersantai melayan gewang-gewang yang digunakan. Akibatnya hasil dari amalan menarik tali dari reel, penggunaan saiz reel yang salah, penggunaan gewang yang terlalu ringan, pemilihan gewang top water atau penggunaan micro spoon tali kita berkemungkinan telah longgar / overlap / digging boleh menyebabkan isu tali tersimpul yang lebih kerap lebih-lebih lagi apabila cuba membuat “casting” secepat / sekuat yang boleh. Situasi ini biasanya terjadi pada hampir semua pemancing lebih-lebih lagi apabila ternampak boiling ikan atau mungkin terlucut ikan dan cuba menyambung “mana tahu mungkin” ikan akan makan kembali.

Penyelesaian

Sabar adalah satu perkara yang sepatutnya pemancing semua harus sedar dan praktikkan. Bukan sahaja sabar untuk memikat ikan tetapi lebih pada keselamatan pemancing. Seringkali kita dengar gewang tersangkut pada muka atau pada anggota lain. Punca utama terjadinya isu-isu ini ialah tidak sabar. Jadi kesabaran adalah penyelesaian terbaik bukan sahaja elakkan tali bersimpul tetapi juga isu-isu lain.

Tidak ada istilah force / paksaan dalam ultralight. Ia lebih pada melayan segala-galanya termasuk semasa membuat “casting”. Lontaran seharusnya bersahaja dan menggunakan momentum rod untuk menghantar gewang / umpan anda. Bukannya kekuatan atau menghayun rod anda semata-mata untuk mendapatkan jarak dan ketepatan. Ini teknik yang salah.

Pilih rod yang mempunyai aksi “fast action” jika anda mahu membuat casting yang cepat dan tepat. Rod begini biasanya sesuai untuk membuat lontaran gewang-gewang top water yang memerlukan sedikit henjutan tip. Namun, semua ini bergantung pada match dan balance yang perlu secara keseluruhan di mana ia melibatkan kesesuaian dengan reel, tali dan sebagainya.

9. Tali Tidak Pernah Dibersihkan

Masalah

Ini sikap hampir semua pemancing buat. Mancing memang rajin tetapi tidak begitu rajin membersihkan reel, tali dan rod. Ini realiti yang tidak ramai akan mengakuinya. Tali yang digunakan dipelbagai lokasi (lebih-lebih lagi di longkang. parit, muara adalah yang paling teruk) biasanya akan kotor dan banyak keladak yang melekat. Apabila ia tidak dibersihkan lama-lama ia akan berkumpul, melekat dan menjadi punca utama tali akan melekat antara satu sama lain semasa casting. Selalunya inilah yang akan menjadi penyumbang tali keluar sekepul dan berbelit / punca wind knot yang biasanya terpaksa di potong kerana berbelit terkena kotoran biasanya teruk dan merosakkan tali. Ini juga antara punca utama tali mudah putus dan pemancing biasanya suka menyalahkan sesuatu brand tanpa menyedari kesilapan sebenarnya ialah mereka sendiri.

kesan-jelas-tali-yang-kotor-kerosakkan-pada-tali

Lagi satu kawasan yang sentiasa merosakkan tali ialah pancingan jeram apabila tali bergesel-gesel dengan batu dan mengutip kotoran yang anda serta menjadi punca tali melekat antara satu sama lain. Kesan ini anda boleh lalui instant (semasa itu sahaja biasanya) apabila wind knot terjadi agak kerap. Pasir-pasir halus yang masuk ke celah-celah tali menjadikan tali mudah terbelit dan casting menjadi kurang lancar seperti berat je tali mahu keluar dari spool.

Kesan ini bukan pada tali sahaja tetapi juga pada rod jika tidak dibersihkan dengan betul akan menyebabkan kotoran melekat pada cincin rod dan menganggu semasa casting apabila tali pancing akan tersekat-sekat dimana ia juga memberi penyumbang pada wind knot. Tidak kiralah cincin FUJI sekali pun anda gunakan jika tidak di jaga tetap akan karat / rosak.

Penyelesaian

Rajinkanlah diri membersihkan tali selepas setiap penggunaan sesi pancingan lebih-lebih lagi jika anda jenis mancing di longkang-longkang seperti mencari ikan bulan, tilapia, haruan, puyu dan sebagainya. Kawasan ini antara yang paling banyak merosakkan tali. Jadi balik rumah bersihkan dengan mengeluarkan tali dari reel sambil mengusap tali dengan 2 jari. Bersihkan semasa keluar dan semasa masuk kembali dengan air sabun pun boleh.

Dan jangan lupa basuh cincin rod anda menggunakan berus supaya kotoran yang ada di celah-celah ruang cincin itu keluar. Dan tidak lupa bersihkan juga bail arm dan roller reel supaya kotoran tidak melekat di kedua-dua bahagian itu.

10. Pemilihan Reel Kurang Sesuai Dengan Rod

Masalah

Saya sengaja letak point ini terakhir kerana ini adalah kesilapan terbesar pemancing biasa buat. Wow… Kesilapan terbesar. Macam serius jer nie. hahaha 😉

Memang kesilapan terbesar kerana kebanyakkan pemancing membeli rod dan reel ikut sesuka hati dan berdasarkan apa yang pemancing lain rekomen. Contohnya jika ada pemancing cakap reel ini “terbaikkkkkkkkk” mereka tidak akan membuang masa terus beli dengan harapan rod “terbaikkkk” mereka juga akan menjadi kombinasi yang “terbaikkkkkkkkkkkkkkkk”. Tetapi… Apabila terjadinya isu-isu tali bersimpul atau wind knot yang menjadi mangsa biasanya adalah brand. Kena sumpah seranah. Hahaha… Jangan risau ini peluang anda untuk perbaiki kesilapan diri sambil menambah ilmu.

Realitinya ialah tidak kira hebat atau mahal mana pun rod anda jika ia tidak balance dan matching dengan reel, apa pun anda buat tetap tidak best gabungannya. Sebab itu amat penting membuat pemilihan yang betul lebih-lebih lagi dalam pancingan ultralight yang mementingkan balance dan matching untuk kepuasan yang maxima.

Masalah utama di sini ialah rod dibuat tanpa menitikberatkan pada mana-mana brand reel di pasaran. Manufacturer akan buat ikut suka mereka berdasarkan target selling price mereka. Jadi isu-isu seperti tali bersimpul / wind knot jarang dapat dikurangkan. Saiz, kualiti dan jenis guide / cincin yang digunakan pada rod biasanya main belasah supaya dapat keuntungan yang lebih.

Melalui pengalaman sikit sebagai pereka rod yang saya ada biasanya manufacturer akan tune rod mereka dengan reel bersaiz 1000. Sebab itu saya sentiasa nasihatkan pemancing ultralight yang baru membeli reel yang bersaiz 1000. Elak beli saiz reel yang kecil seperti 200, 300, 500, jika anda cuma membeli rod yang sedia ada.

Penyelesaian

Pemancing yang professional / berilmu akan sentiasa membawa reel yang mereka beli sebelum membeli rod mereka. Biasanya mereka akan cuba gabungkan dengan rod yang mereka target untuk beli. Mereka akan membawa beberapa biji reel ke kedai untuk mencuba mencari gabungan yang terbaik. Amat penting bahagian belakang bahagian handle tidak terlalu berat ke belakang dan bahagian tip rod tidak berat ke hadapan. Tapi ingat ya sebelum masuk kedai minta kebenaran tokey dan tunjuk reel-reel anda takut nanti akan dituduh mencuri pula. Satu hal pulak hahaha…

Ini yang membezakan custom rod dengan rod yang sedia ada (rebrand) atau di buat semata-mata untuk memenuhi permintaan di market. Kedudukan dan saiz cincin (stripper guide iaitu guide terbesar) bergantung pada poundage tali yang bakal digunakan atau di reka untuk sesuatu rod. Selepas mengenal pasti kedudukan dan saiz cincin terbesar (stripper guide) kemudian sebagai pembuat rod amat penting untuk mengenal pasti kedudukan choke guide yang bermaksud guide terakhir sebelum tali bertukar haluan untuk mengurangkan geseran (friction). Rod UL game dan rod light atau medium game menggunakan saiz cincin yang berlainan. Agak teknikal dan sukar untuk di ceritakan dengan ayat tetapi pembuat rod biasanya akan tahu apa saya cuba maksudkan. Saya cuma memberi sedikit idea untuk anda supaya ada sedikit ilmu.

Tujuan ayat di atas ialah untuk memberitahu anda ia untuk mengurangkan geseran dan punca tali berbelit supaya ia keluar tanpa sebarang isu. Jika betul cara buatannya tali juga akan keluar dengan smooth / lancar. Kebanyakkan rod yang dibuat secara pukal / rebrand tidak dibuat dengan cara ini kerana ingin disiapkan dengan cepat bagi mengurangkan cost supaya dapat profit yang maxima. Mereka cuma menggunakan panduan yang standard/sama untuk semua jenis guide tidak kira rod apa.

Atas sebab-sebab di atas inilah perlunya kita membawa reel sebelum membeli rod supaya dapat memilih rod yang sesuai untuk reel yang dibeli.

Kesimpulan

Tali bersimpul atau wind knot terjadi atas pelbagai sebab-sebab seperti yang di nyatakan di atas. Kesemua masalah ini dapat di elakkan jika anda mula sedar punca sebenar penyumbang kepada masalah tali berbelit ini. Semua ini memerlukan masa untuk anda memahaminya. Jadi ambil masa dan buat satu per satu supaya ia menjadi amalan setiap kali anda memancing.

Ultralight fishing atau pancingan ultralight seharusnya memudahkan dan tidak seharusnya menggunakan kekuatan tangan untuk menghayun semasa membuat lontaran seperti game heavy. Jika anda menghayun kuat maka ini bermaksud setup anda tidak balance dan tidak matching dengan pemilihan umpan / aksesori. Anda perlu mencari jalan dan back to basic untuk cuba memahami apa itu balance dan matching.

Segala tips di atas hanya sebahagian sahaja. Masih banyak lagi isu-isu lain yang boleh menjadi penyumbang isu tali tersimpul / wind knot namun jika anda berjaya mengelakkan apa yang dinyatakan di atas percayalah segala masalah yang ada akan berkurangan dan anda dapat memancing dengan tenang.

Nota:

Segala informasi yang diberi adalah berdasarkan best efforts untuk meluahkan pendapat dan ilmu yang telah diperolehi. Kami akan cuba perbaiki info dalam setiap artikel kami dari masa ke semasa untuk tujuan memperbetulkan apa yang kurang tepat. Ayat atau perkataan yang tidak sesuai mungkin telah digunakan dan ia adalah luar kawalan kerana kami telah mencuba sehabis baik. Jika ada cadangan sila komen. Kami akan membuat perubahan.

Check Also

memancing ikan kerapu lombong jaguar cichlid menggunakan softbait grenti strike kanicen nix

Seronoknya Memancing Ikan Jaguar Cichlid / Kerapu Lombong

Ramai masih tidak kenal dengan ikan kerapu lombong atau dikenali juga sebagai Jaguar Cichlid di …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.