Memburu Ikan Parang Sungai

Pertama kali mendengar ikan parang sungai adalah beberapa tahun lepas. Pada ketika itu ingatkan ia sekadar gurauan rakan mancing. Tetapi apabila dia mula menunjukkan gambar ikan parang terdetik di hati ingin mencubanya. Ramai pemancing yang meluahkan perasan seronok apabila memburu ikan parang sungai ini kerana ia seakan-akan ikan bulan yang suka membuat aksi stunt. Spesis ini dikatakan bukan mudah untuk di cari kerana tidak semua sungai didiaminya.

Pernah juga terbaca beberapa artikel spesis ini biasanya di temui sungai-sungai belah pantai timur semenanjung sekitar Pahang dan Terengganu.

Mengenali Ikan Parang Sungai

Ikan Parang Sungai juga dikenali sebagai Fresh Water Dorab. Nama saintifiknya ialah Macrochirichthys Macrochirus. Ikan parang sungai ini mempunyai bentuk badan yang panjang dan leper seperti parang. Dibahagian ekornya pula terdapat tompok hitam. Ia bersisik halus dan agak hanyir juga bau badannya. Mulutnya yang besar dan seperti terbalik (menghala ke atas). Di bahagian mulutnya terdapat seperti paku (bukan gigi) yang keras dan jika tidak berhati-hati semasa memegangnya jari anda mungkin akan terluka (gambar di bawah). Rahangnya juga lebih keras dari ikan bulan. Matanya yang besar memberi kelebihan untuk melihat mangsa dengan cepat. Siripnya juga panjang.

Peluang Memburu Ikan Parang

Beberapa bulan lepas ada rakan berkongsi gambar ikan parang yang di pancing oleh rakannya dan telah mengajak saya mencuba ikan parang ini. Rakan saya menegaskan bahawa kita perlu menunggu air surut untuk memburunya. Agak lama juga menunggu sehinggalah bulan 6/2019 akhirnya datang juga peluang untuk memburu ikan parang sungai yang dikatakan spesis rare.

Lokasi Pertama

Pada hari kejadian kami terus bertolak ke lokasi menaiki motosikal dengan harapan dapat mencari lesen ikan parang sungai. Kami membawa setup ultralight kerana merasakan ia lebih sesuai dengan target spesis ini. Perjalanan mengambil masa dalam sejam untuk sampai ke lokasi namun air sungai agak tinggi dan amat keruh. Apabila sampai di lokasi pertama kami terus mencuba dengan menggunakan spoon Grenti Strike Silau 3g. Setelah beberapa kali membuat lontaran kami dikejutkan dengan beberapa getuan seperti anak ikan namun pada masa itu kami tidak menjangka ianya ikan parang. Terdapat beberapa kuakan air yang agak kuat tetapi kami masih tidak dapat meneka ikan apa sehinggalah tiba-tiba kami dapat satu ketukan yang lebih kuat dan dapat mendaratkan seekor ikan parang yang bersaiz sekitar 15cm. Wow… Lesen. Akhirnya dapat juga lesen ikan parang. Kami melepaskan semua ikan yang kami dapat ketika itu dan pelik selepas itu ikan berhenti memakan umpan.

Lokasi Kedua

Kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke lokasi lain dengan harapan dapat mencari saiz yang lebih padu. Setelah 15 minit kami sampai ke sungai yang sama di lokasi berbeza. Kelihatan ada seorang otai tengah membottom. Kami melalui kawasan yang berlumpur celah-celah semak dan pokok untuk mencari lokasi cabang sungai yang dikatakan lebih sesuai untuk memburunya kerana menunggu anak-anak ikan.

Sampai sahaja di spot kami terus membuat lontaran dan tidak kami sangka umpan Grenti Strike Silau di sambut terus. Double strike kali ini saiz yang lebih besar dari sebelum ini. Hati mula rasa seronok kerana setiap lontaran di sambut dengan ketukan padu. Ia melibas umpan seakan-akan ikan bulan dan membuat aksi akrobatik juga seperti ikan bulan. Makin seronok melayan ikan parang ini kerana terlalu banyak dan mesra umpan. Kali ini semua ikan kami berikan pada pakcik yang membottom itu. Ikan parang sungai ini menyerang umpan yang kami pakai tanpa henti. Namun setiap kali lucut beberapa ekor atau tidak lekat, ikan parang ini akan berhenti membuat serangan. Ia akan diam seketika. Agak sensitif juga rupanya ikan ini. Kelakuannya agak sama seperti ikan bulan.

Penggunaan Umpan

Pada awalnya kami menggunakan Grenti Strike Silau 3g Gold dan Silver. Apabila senyap tanpa sebarang serangan kami menukar kepada Grenti Strike Geli-Geli berwarna kuning. Agak mengejutkan.

Setiap lontaran di sambut dengan rakusnya. Pantang jatuh air terus disambarnya dan kali ini saiz ikan yang kami dapat agak kasar dari yang sebelum ini. Rata-rata semuanya lebih dari 45cm dan tentangan yang kami terima jauh lagi kuat. Kelihatan jelas badan ikan melibas/meliuk didalam air menyambar umpan kami.

Tips Memburu Ikan Parang Sungai

Bagi yang mahu memburu ikan parang sungai ini ada sedikit tips yang boleh kami kongsikan selepas pengalaman pertama. Apa yang kami perasan ialah:

  1. Ikan ini agak sensitif. Jika kita melepaskan kembali ikan parang sungai ini di tempat yang sama ikan lain akan mula culas dan berhenti makan.
  2. Ikan parang ini melibas cuba memakan umpan seakan-akan ikan bulan.
  3. Ikan parang ini juga amat agresif apabila cuaca mendung atau tidak panas kerana ia tidak/kurang makan umpan di kawasan yang terkena matahari. Tetapi amat garang di kawasan yang redup. Dan ketika awan mendung hendak hujan ikan parang menjadi lebih agresif. Ini yang terjadi ketika itu.
  4. Ikan parang ini cepat kenal umpan seperti ikan bulan jadi amat penting ubah umpan anda jika ini terjadi.
  5. Ikan parang ini cukup suka dengan umpan kilat seperti spoon Silau dan ulat seperti Geli-Geli. Kami perhatikan Geli-Geli berwarna kuning amat laju diserangnya berbanding warna lain.
  6. Ikan parang ini kami perhatikan berada sekitar kawasan yang berarus perlahan menunggu mangsa seperti anak-anak ikan.
  7. Mempunyai rahang yang amat keras jadi hook harus tajam.
  8. Sentiasa menyerang hendak di tepi gigi air jadi jangan terlalu cepat mengangkat umpan anda dari air.
  9. Ikan parang ini menyerang semua jenis umpan dari top water, minnow floating, sinking dan softbait.
  10. Kawasan serangan ikan parang ini biasanya atas air ke sekaki paras air sebab itu boleh nampak setiap libasannya.
  11. Cukup suka berada sekitar reba kerana mangsa biasa ialah anak-anak ikan dan serangga (seperti pepatung) yang terbang sekitar kayu-kayu yang berada di permukaan air.
  12. Aksi jerk amat digemarinya jika anda menggunakan soft plastik dan umpan minnow. Manakala jika anda menggunakan micro spoon karau jangan terlalu laju. Ikan ini menyerang apabila ada aksi pause.

Berharap tips memburu ikan parang sungai di atas ini dapat membantu anda.

Kesimpulan

Apa yang pasti ikan parang sungai ini adalah spesis yang amat seronok di pancing. Sikapnya yang agresif dan garang membuatkan ia salah satu ikan yang wajib di jadikan sebagai target pemancing ultralight. Aksi akrobatik seperti ikan bulan menjadikan ia lebih seronok di layan tetapi kekuatannya pasti lebih seronok di layan dengan menggunakan setup ultralight.

Berharap anda seronok membaca artikel ikan parang sungai. Kami akan menambah info lain dari masa ke semasa. Trip pertama ini lebih kepada pengenalan. Nantikan trip kedua yang akan kami buat tidak lama lagi.

Terima kasih 🙂

Note:

Segala informasi yang diberi adalah berdasarkan best efforts untuk meluahkan pendapat dan ilmu yang telah diperolehi. Ayat atau perkataan yang tidak sesuai mungkin telah digunakan dan ia adalah luar kawalan kerana kami telah mencuba sehabis baik. Jika ada cadangan sila komen. Kami akan membuat perubahan.

Check Also

ultralight-anglers-tali-yang-dimasukkan-pada-paras-yang-betul-daiwa-ltd

Punca Tali Bersimpul / Wind Knot Pada Setup Spinning

Meehun atau Bihun atau Tali Berbelit atau Tali Bersimpul atau Wind Knot terjadi hampir pada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.