Kisah saya dan Ultralight

Pemancing ultralight sudah tentu mempunyai kisah tersendiri tentang bagaimana mereka terjebak dalam trend ultralight. Kisah saya pula, mungkin sama dengan mereka yang lain. Tapi trend ultralight bukan sekadar trend semata-mata, kerana ada sesetengah orang akan berasa bosan apabila tidak dapat memahami maksud sebenar pancingan ultralight. Sediakan jajan atau popcorn untuk membaca kisah saya ini…

Saya antara insan yang terjebak dalam trend pancingan ultralight. Saya rasa tercabar bila terlihat satu video di YouTube, menunjukkan ada orang menaikkan ikan siakap dengan menggunakan tali 1 lb. Dalam hati saya ketika itu, “Dia ni tertinggal nombor 0 kot masa nak taip. Gila apa mengail siakap 3kg pakai tali 1 paun!”

Waktu itu saya masih belum kenal apa itu ultralight. Kalau light tu saya tahulah sebab itu yang tertulis pada rod saya. Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum saya terjumpa video abam Kanicen Nix fight siakap 3kg+ di YouTube, saya berjaya menaikkan ikan siakap seberat 1.5kg dengan rod ugly stik 6-10lb, reel shimano saiz 1000, tali braided 15lb, dan leader 30lb.

IMG_20140522_172246

Seronok sungguh rasanya waktu tu. Rasa macam hebat sangat pun ya jugak, maklumlah, pakai set pancing macam nak cari ikan gelama. Selalunya saya dengar orang cakap nak pancing siakap ni kena pakai tali paling kurang 30lb, mesin saiz 4000 ke atas, rod pun kena keras sikit takut patah. Jadi bila dibandingkan dengan set pancing saya tadi, terdetik dalam hati saya anggapan ini, “Set macam ni pun boleh naik ikan, maknanya skill tu lagi penting lah untuk naikkan ikan dari set yang berat!”

Mujur saya belum lupa diri waktu tu. Jadi seminggu lepas tu saya pun carilah video di YouTube tentang orang memancing siakap. Lepas saya tengok video abam Kanicen tu, saya masih lagi belum percaya. Jadi saya pun teruskan pencarian saya sampailah terjumpa group di Facebook iaitu Ultralight Anglers.

Kecik sungguh saya rasa diri saya ni waktu tu, walaupun saya tahu badan saya besar.Rasa kerdil sebab nampak orang naikkan ikan besar dengan tali maksimum 6 lb. Tapi yang paling utama, saya rasa kerdil sangat sebab baru saya tahu yang saya tak tahu apa-apa langsung tentang set pancing yang saya pakai.

Terus saya rasa yang saya ni hampeh sangat. Memancing dari zaman sekolah, tapi umur dah tua baru sekarang saya tahu maksud perkataan yang ada dekat batang rod.

Bermula dari situ, saya pun mula terjebak dengan pancingan Ultralight. Mula-mula rasa macam tak yakin juga dengan peraturan tali 6 lb, tapi melihatkan rakan-rakan yang lain boleh buat, kena tidak saya cuba dahulu? Pada saya, peraturan yang dikenakan di group UL bukanlah bertujuan untuk menyeksa semua ahli. Percayalah, ini semua bertujuan untuk kita belajar menjadi seorang pemancing yang skillful dan beretika, dan dalam masa yang sama, merasai nikmat melawan tarikan ikan.

siakap

Jadikan platform Ultralight untuk kita belajar tentang kekuatan tali, kekuatan dan aksi rod, tahap ketatan drag yang sesuai, ikatan dan cara menyediakan tali perambut, umpan dan gewang, dan yang paling penting, etika yang perlu dipraktikkan oleh pemancing.

Bayangkan, seandainya semua pemancing dapat mempelajari perkara-perkara di atas, tentu kita tidak akan dengar kes-kes tali terputus ketika melawan ikan, rod patah ketika menarik ikan, ikatan pada tali perambut terlucut, dan yang paling teruk, ikan-ikan pupus di sesebuah lubuk kerana dipancing secara berlebihan.

Berikan peluang untuk diri kita belajar dengan lebih mendalam, tidak kiralah berapa lama kita sudah memancing. Belum tentu lagi apa yang kita tahu itu betul. Buang rasa malu dan ego dengan bertanya kepada mereka yang lebih arif dan jangan kedekut untuk berkongsi ilmu kita, InsyaAllah ilmu kita sendiri akan bertambah secara automatik.

Dengan ini, bila ada orang yang bertanya kepada kita, “Wei, kenapa kau pakai tali halus-halus ni? Tak takut putus ke? Atau kau saja nak menunjuk kononnya power boleh naik ikan besar?!”

Cara paling senang nak jawab pertanyaan berbaur sindiran tu, naikkan ikan di depan orang tu dengan set ultralight. Tak perlu kita nak jawab dengan perkataan kerana orang macam ni cuma akan faham bila dia sendiri nampak bukti depan mata.

Tamat sudah kisah saya, kisah anda pula bagaimana? =D

Check Also

Formula Kiraan Panjang Leader. Apakah Panjang Leader Yang Sesuai Untuk Pancingan Ultralight?

Seringkali saya menerima soalan yang sama dari peminat sukan pancingan ultralight berkenaan dengan panjang leader …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.