Inspirasi Memerlukan Keberanian

Perjalanan mempopularkan sukan memancing ultralight adalah amat rumit dan ia memerlukan beberapa sikap, sifat dan elemen sebelum berjaya.

Keberanian adalah satu perkara yang sukar untuk dibayangkan. Keberanian hadir di dalam diri kadang-kadang berdasarkan idea yang tidak masuk akal atau apabila melakukan sesuatu kesilapan, namun segala apa yang terjadi adalah bertujuan untuk kematangan dan perubahan dalam sesuatu perbuatan yang bakal menjadi satu ikutan yang tidak dapat dibendung dan ini dikenali sebagai “FENOMENA” dan “TREND”.

Fenomena berlaku secara spontan namun usaha yang dibuat bukan spontan. Ia memerlukan dedikasi dan kecekalan.

TREND SETTER LAIN, OLD TIMER LAIN

Adakah trend HANYA boleh dibuat oleh orang lama atau orang yang digelar otai? Atau adakah trend itu wujud akibat keberanian seseorang membawa / mewujudkan sesuatu yang mustahil yang mendapat segala bantahan, cemuhan, hentaman dari orang lain kerana tidak mempunyai pendapat yang sama akibat tidak memahami tujuan sesuatu trend itu diwujudkan? Anda tahu jawapannya…

Mungkin mereka yang membangkang ini lebih arif tetapi mungkin juga mereka ini tidak faham langsung sekadar hanya menjadi pengikut yang kurang cerdik tanpa menelitinya. Untuk memahaminya ia semua bergantung kepada siapa anda, dari mana anda datang kerana di sinilah terletak akal dan hati yang besar untuk menerima sesuatu yang baru bertujuan kebaikan. Pernahkah anda beranggapan ia akan menjadi lebih mudah dengan menyerah kalah dari berperang dengan mereka yang sentiasa bermentaliti negatif? Mungkinkah semasa berperang saya juga membuat keputusan yang sama untuk berhenti berperang dan menerima pendapat ORANG YANG MELABELKAN DIRI MEREKA HEBAT (faktanya mereka hanya orang yang biasa dan penakut) yang tidak mahu mencuba sesuatu yang baru? Mudahkan jika saya berbuat demikian?

Namun… Saya MEMILIH untuk meneruskan perjuangan kerana percaya kita tidak mungkin mampu memuaskan hati semua orang.

kanicen-nix-inspiration-ultralight-fishingApa yang pasti, saya percaya hanya orang yang berani sahaja mampu berbuat demikian kerana mereka ingin berbuat sesuatu yang boleh dibanggakan dan yang boleh menjadikan mereka sebagai satu simbolik atas sumbangan yang membawa perubahan di dalam market. Dan ini adalah kejayaan di kecapi akibat usaha tidak mengenal erti tewas.

Ketewasan adalah perkara yang cukup sensitif untuk seorang yang digelar lelaki. Sebab itu keberanian itu rumit. Perlukah kita selalu ikut apa yang orang lain suruh atau mahu dan membiarkan apa yang kita impikan sebagai seorang lelaki? Sampai bilakah kita harus menjadi followers sahaja?

FUNGSi MEDIA

Sebagai seorang pemancing tegar dalam sukan ultralight, melalui gambar dan video lah saya mampu share dan dapat menyampaikan visi estetik saya dalam alam semula jadi untuk merangsang emosi dan melindungi keindahan alam kita sebagai seorang pemancing. Melalui media inilah saya mampu meluahkan ilmu yang ada walaupun seringkali ia dianggap sebagai “menunjuk” atau “mengejar nama”. Cara penampilan di Facebook atau media lain membuatkan kita selalunya nampak “berlagak” tapi realitinya jauh sekali. Kita hanya berseronok. Lain sudut lain pendapat, lain pandangan dan lain pemahaman akan tujuan sebenar seseorang.

“your ears and eyes can deceive you, don’t trust them. trust the facts when you know the person personally.”

Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu mengapa kita lakukan sesuatu. Orang yang penakut juga mempunyai keberanian. Tetapi untuk mendapatkan penghormatan ia hanya boleh berlaku apabila anda melakukannya sendiri bukan sekadar bercakap tetapi melaksanakannya dengan berani tanpa kenal erti takut. Di sinilah kita akan kenal siapa diri kita dan apa yang kita ingin jadi. It’s who you are and who you want to be.

Jika anda mati mencuba sesuatu yang penting maka anda mempunyai kedua-dua penghormatan dan keberanian dan itu sudah cukup baik. Saya pasti, untuk berjaya saya perlukan keberanian dan cuba untuk mendapatkan penghormatan dengan usaha. Dan juga berdoa agar segala usaha diberkati NYA.

VISI DAN USAHA

Jika anda antara pemancing yang membesar di tepi laut, mungkin anda menghabiskan banyak masa melihat jauh ke laut dan tertanya-tanya apa yang di bawa oleh ombak dan apa yang dihanyutkan sehingga satu hari anda menyedari bahawa anda telah hidup di antara dua tempat iaitu di tempat bermulanya sesuatu perkara dan tamatnya sesuatu perkara dan tersenyum tanda memahaminya.

Itulah saya cuba buat dalam sukan ultralight di negara kita. Menjadi “Trend Setter” bukan sekadar bercakap tetapi memerlukan usaha yang tidak kenal erti kalah apabila berjuang. Bukan sekadar di hentam sekali menyorok seperti tikus atau menyorok apabila rakan seperjuangan diserang bertalu-talu dan memilih untuk berdiam diri lalu membiarkan rakan menjadi mangsa. Mangsa inilah yang bakal bangun semula untuk melebarkan empayarnya.

Pengalaman puluhan tahun atau bertapa lamanya anda dalam sesuatu bidang bukan bermaksud anda adalah orang yang hebat atau orang yang patut dijadikan sebagai pembawa trend mahupun orang yang sepatutnya mendapat kredit.

Trend Setter adalah orang yang berusaha untuk menjadikan sesuatu perkara ikutan orang ramai dimana ia wajar dijadikan sebagai panduan dan teladan untuk menyumbang kearah kemajuan dalam sukan memancing.

Ia memerlukan keberanian. Dan keberanian itulah membawa segala usaha saya sebagai orang yang bertanggungjawap membentang dan mempopularkan ideologi ultralight fishing di Malaysia hasil bantuan semua rakan-rakan yang masih bersama untuk berjuang.

BUKAN SIAPA MENANG DAN KALAH ATAU SIAPA HEBAT

Ini adalah perkara terakhir yang saya akan katakan. Membesar didunia ini adalah amat menyakitkan. Ia tidak pernah mudah. Tetapi itulah yang kami cuba buat iaitu mendidik anda sebagai pemancing yang berilmu dan beretika. Ia bukan mengenai memancing. Ia bukan mengenai berapa banyak ikan yang anda berjaya pancing. Ia bukan mengenai siapa menang dan kalah. Ia adalah proses anda ke arah yang akan membantu anda membesar dengan matang dan memahami apa yang perlu dibuat. Oleh itu, apabila anda mengambil tempat anda dan melalui hidup di dalam dunia, di dalam masyarakat yang berbilang bangsa, agama, ragam, dan di dalam komuniti kami, anda boleh dijadikan tempat yang boleh diharapkan oleh ibu-bapa, adik-beradik, kawan-kawan dan masyarakat yang memerlukan bantuan.

Untuk pemancing yang faham, ada satu ikatan yang amat besar iaitu kepercayaan dan persahabatan yang ada. Mereka berkongsi komitmen apabila memancing. Tidak kira apa yang berlaku, sikap berkawan selalunya di utamakan, dan ini bermakna sebagai satu pasukan. Mereka tidak akan mengorbankan pasukan untuk individu. Dan semua yang mereka buat adalah untuk mewujudkan satu komuniti yang sihat.

Keluarlah memancing setiap minggu dan buktikannya. Dan, apabila anda muncul esok, buatlah apa sahaja yang boleh merangsang anda, apa sahaja yang boleh menyebabkan aktiviti memancing seronok yang boleh membuatkan jantung berdebar dan berdegup laju. Saya tidak tahu apa yang sesuai untuk anda. Mudah-mudahan, ia akan menjadi perkara yang terakhir di dalam kegiatan harian anda untuk tahun ini yang membuatkan anda bahagia. Dan jika anda berjaya, saya suka untuk mengatakan, anda baru sahaja menjadi sebagai pemancing yang menikmati aktiviti memancing dengan sepatutnya.

INSPIRASI

Apa yang pasti saya telah berjaya menjadi INSPIRASI kepada banyak pemancing-pemancing tidak kenal jantina, usia mahupun bangsa. Dan ini hanya boleh berlaku kerana hati anda yang bersih menerima trend ultralight ini yang dipopularkan oleh orang Malaysia dengan bangganya.

INSPIRASI bukan sekadar cakap tapi dibuktikan dengan tindakan yang mengilhamkan pemancing lain. Di sinilah wujudnya “TREND SETTER” pembawa “FENOMENA” yang menjadi ikutan orang ramai.

JIKA ANDA INGIN MENJADI TREND SETTER, PERKARA PERTAMA YANG ANDA PERLU LAKUKAN ADALAH MEMBERI INSPIRASI!

 PERCAYA PADA USAHA

Kadang-kadang kita sedang diperhatikan oleh malaikat. Apabila kita terfikir perbuatan kita yang baik dibiarkan tanpa disedari. Fikirkan sekali lagi. Benarkah?

Ingat segala usaha kita untuk kebaikan pada masyarakat atau pada dunia; Ia bukan tentang agama. Ia bukan mengenai kaum. Dan ia juga bukan tentang warna kulit kita. Tetapi; TINDAKAN kita yang menentukan siapa kita. TINDAKAN kita yang lebih lantang dari kata-kata. Dan TINDAKAN kita yang menentukan dimana kita berada apabila kita tiada lagi di dunia ini.

Ada perkara yang kita tidak akan faham di dunia ini sehingga anda melakukannya sendiri. Ia berlaku kepada saya dan ia akan berlaku kepada anda jika anda melakukan apa yang betul.