Resepi Masakan Ikan Kesukaan Pemancing

Mancing ni macam-macam seronoknya dan antaranya ialah dapat kawan baru, dapat rasa tarikan tidak kira kecil atau pun besar, dapat menikmati nature dan bermacam-macam lagi. Bagi saya CNR atau bawa balik makan adalah hak individu tetapi apa yang penting ialah adab dengan menghormati semua orang. Saya bukan pro CNR walaupun saya sentiasa amalkan CNR dengan cara yang terbaik tetapi saya juga bukan pro tapau yang melampau tanpa menjaga populasi.

Saya sendiri membawa ikan balik apabila dirasakan perlu (cedera parah) atau teringin hendak memakannya contoh kalau dapat ikan baung, ikan lais memang amik sebab jarang-jarang sekali dapat. Haruan amik bila mak cakap nak atau ada kawan minta untuk tujuan perubatan, etc.

Jadi tidak kira apa pun pendapat anda kita harus menghormati hak masing-masing dimana yang CNR hormat yang ambil untuk makan atau punca pendapatan mereka dan yang tapau/makan pula hormat orang yang amalkan CNR dengan menjaga etika apabila membuat sharing gambar di media sosial. Kita semua pemancing yang ada akal dan dibesarkan dengan agama dan diberi akal untuk berfikir dengan waras. Usah kecam, usah bergaduh tetapi amalkan ADAB dalam segala perbuatan nescaya kita semua akan hidup dalam satu bumbung komuniti pancing yang harmoni.

Apa kata hari ini kita share tangkapan masing-masing tetapi dibawa balik untuk dimasak. Tunjukkan resepi anda yang paling sedap. Kita tengok menu apa yang paling best. Pastikan info anda lengkap dengan resepi makanan kerana semua info ini saya akan ambil masuk ke dalam blog sebagai artikel. (info di petik dari group facebook ultralight anglers).

Saya start dulu menu yang saya sendiri masak beberapa hari lepas hasil dari tangkapan bujuk 1.3kg. Lebih dari 15 tahun tidak memakan ikan bujuk tetapi kali ini hati terasa hendak memakannya jadi saya bawa ikan tersebut balik. Menunya ialah:

============================
Ikan Bujuk Masak Lemak Cili Api
============================

ikan-bujuk-masak-lemak-cili-api

Bahan-bahan:

1. Kelapa (1 bijik).
2. Ikan bujuk di potong kecil/sederhana.
3. Cili padi (5-10 bijik) dan cili merah (5-10 bijik).
4. Bawang merah (besar 1 bijik).
5. Bawang putih (2-5 bijik).
6. Halia (1 inci).
7. Kunyit hidup (2-3 bijik).
8. Serai dihiris halus (1-2 batang).
9. Asam keping (1 keping).
10. Kentang (2-3 bijik).
11. Garam.
12. Daun limau (2-3 helai).

Nota: Cili tu agak-agak ikut pada selera masing-masing ya. Saya suka pedas-pedas.

Cara-cara masak:

1. Ikan bujuk diperap dengan garam dalam 30 minit hingga 1 jam. Tabur sedikit serbuk kunyit bagi tidak menjadikan berwarna pucat.
2. Goreng separuh masak ikan bujuk (style saya elak ikan hancur).

Sementara itu, tumbuk dan sediakan bahan bahan lain. Bahan tumbuk dihiris halus supaya senang menjadi lumat.

1. Tumis hingga naik bau bahan yang ditumbuk (bawang besar, bawang putih, cili padi, serbuk kunyit).
2. Kemudian masukkan sedikit air masak (agak-agak je).
3. Masukkan pula santan kelapa (ikut masing-masingnya style saya suka sebijik biar pekat).
4. Gaul rata.
5. Masukkan kentang yang dah dipotong.
6. Masukkan garam secukup rasa.
7. Tambahkan sedikit air jika perlu supaya kuah tak terlalu pekat santan sangat.
8. Tunggu seketika kemudian masukkan ikan bujuk yang telah digoreng separuh masak.
9. Biarkan mendidih dan masak sampai pecah minyak.
10. Angkat dan hidangkan.
11. Tabur daun limau untuk menambahkan bau harum pada masakan.

Menu ni sesuai tok masakan apa pun. Yang penting imaginasi. Selamat mencuba 🙂

================================
Ikan Terbul Goreng Kunyit – Eagle Eyes
================================

Menu ikan Terbul goreng garam kunyit adalah menu yang simple dan bagi saya ianya cukup enak bila dimakan ketika nasi masih panas ditambah sambal belachan dan ulam.

Bahan-bahan:

1. Ikan terbul.
2. Garam halus.
3. Serbuk kunyit.
4. Ajinomoto – penambah perisa.
5. Minyak masak.

Cara-cara masak:

1. Campurkan semua bahan-bahan.
2. serbuk kunyit + garam halus + dan sedikit ajinomoto + sedikit air dan gaulkan semua bahan-bahan tadi bersama ikan terbul yang telah dbersihkan.
3. Dan bolehlah digoreng.

Menu Haruan Goreng Kunyit – Eddy Ana

==========================================
Haruan Kuning Daun Kesom – Amirul Rofiq Roslee
==========================================

Bahan-bahan:

1. Kunyit hidup 2 inci.
2. Bawang merah 4 biji.
3. Beras sedikit.
4. Lengkuas 1 inci.
5. Cili api ikut suka.
6. Santan.
7. Daun kesum.
8. Haruan 1 Kg.

Cara-cara- masak:

1. Kisar kunyit, bawang, lengkuas, cili dan beras.
2. Perap sekejap bahan kisar bersama ikan.
3. Panaskan kuali dan terus masak ikan dan masukkan santan sampai mendidih.
4. Letak daun kesum.
5. Tunggu ikan masak dan makan.

=============================
Sup Ikan Haruan – Isma Zulhairiey
=============================

Bahan-bahan:

1. Ikan haruan yang siap dibasuh dgn air asam jawa (500gm).
2. 2 ulas bawang merah.
3. 6 ulas bawang putih.
4. 1/2 Bawang holland.
5. 1 1/2 inci halia.
6. 4 tangkai cili.
7. 1biji tomato.
8. 10biji lada hitam.
9. 1pek rempah sup ikan(bunjut).
10. 4 Bunga cengkih.
11. Kayu manis.
12. 2 bunga lawang.
13. 4 buah pelaga.
14, 2 Cawan air.

Cara-cara masak:

1. Tumiskan bawang merah, bawang putih yang dimayang hingga naik bau.
2. Masukkan halia (yang dimayang), rempah sup ikan, lada hitam, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga cili dan kacau sehingga naik bau rempah.
3. Masukkan air,tgu hingga menggelegak.
4. Masukkan ikan.
5. Masukkan bawang holland.
6. Kemudian tomato.
7. Tunggu hingga menggelegak selama 4 minit kemudian padamkan api memasak.

Siapp!! Terus dihidang. Hidangan ini sangat berkesan bagi orang sakit termasuklah penyakit kumpau. Wakakaka 😛

==================================================
Ikan Merah Goreng Sos Taucu Cili Padi – Chandra Ramasamy
==================================================

Bahan-bahan:

1. Ikan merah.
2. Black Pepper dan tepung jagung.
3. 8 cili padi.
4. 2 sudu besar taucu.
5. 2 sudu besar halia cincang halus.
6. 2 sudu besar bawang putih cincang halus.
7. 1 sudu kecil gula.
8. 2 sudu kicap masin.
9. 1 cawan air.
10. 1 sudu kecil tepung jagung campur 2 sudu air.

Cara-cara masak:

1. Tabur garam dan black pepper pada ikan lepas tu letak tepung jagung.
2. Goreng sampai kulit ranggup.
3. Goreng halia, awang putih dan cili padi sampai wangi.
4. Tambah semua bahan lain kecuali tepung jagung dan 2 sudu air.
5. Lepas sos sudah mendidih, masuk kan tepung jagung campur air and kacau hingga pekat.
6. Tuang atas ikan dan hias dengan cili, daun ketumbar dan lain-lain.

=================================
Patin Tempoyak – Syed Naqib Ben Yahya
=================================

Bahan-bahan:

1. Patin ori sungai pahang.
2. Tempoyak secukup rasa.
3. Cili api secukup rasa.
4. Kunyit idop 1 inchi.
5. Daun kunyit hiris halus.
6. Garam dan gula secukup rasa.
7. Foil dan daun pisang.

Cara-cara masak:

1. Blend cili api dgn kunyit.
2. Campur dgn tempoyak dan hirisan daun kunyit.
3. Letak garam gula secukupnya dan gaul rata.
4. Letak patin atas foil dan daun pisang.
5. Lumurkan dengan tempoyak tadi.
6. Balut kemas dan bakar atas kuali leper sebaiknya.

Siappp…

==========================================
Siakap Goreng Kuah Tumis – Nik Mohd Azri Affandi
==========================================

Bahan-bahan:

1. Ikan siakap (ikan lain pun boleh)
2. Kicap sotong
3. Bawang putih cincang
4. Limau nipis
5. Cili
6. Gula
7. Daun ketumbar

Cara-cara masak:

1. Ikan goreng kosong
2. Tumis semua bahan-bahan di atas untuk dijadikan sos.
3. Tuang atas ikan yang telah digoreng.

========================================
Ikan Baung Asam Pedas Kari Kuah Pekat – Zul Ali
========================================

Bahan-bahan:

1. 20-30 cili kering.
2. 4 ulas bwang putih.
3. 4 biji bwang merah.
4. Kisar bahan diatas.

Cara-cara masak:

1. Tumis bahan tersebut dan letak kan 1/2sudu kecil serbuk kari ikan.
2. Apabila pecah minyak,masuk kan air asam jawa.
3. Letak daun kesum.
4. Garam ikut suka.
5. Pak aji sesedap rasa.
6. Tak perlu tambah air cair sebab tak sedap.

Sembilan Masak Asam Pedas – Uchiha Caster

========================
Gulai Bawal Mas – Rizall Matt
========================

Bahan-bahan:

1. Sekor ikan bawal mas Pulau Aman yang dipancing. (ikan apa pun boleh).
2. Sepeket kecik rempah kari ikan.
3. 5 ulas bwg merah.
4. 4 ulas bwg putih.
5. 1 inci halia.
6. 2 tangkai daun kari.
7. 2 sudu kecik halba campur.
8. Bendi.
9. Tomato.
10. Cabai merah.
11. Minyak masak.
12. Air asam jawa.
13. 3 cawan air.
14. Garam, gula, aji.

Cara-cara masak:

1. Panas minyak.
2. Tumis halba campur, bwg merah, bwg putih, halia, daun kari smpai naik bau.
3. Masuk rempah kari, gaul sekejap, masuk air sikit.
4. Kacau-kacau sampai pecah minyak.
5. Masuk air utk kuah, air asam jawa, garam, gula, aji secukup rasa.
6. Bagi mendidih sekejap, baru masuk ikan, bendi, tomato dan cabai.
7. Perlahankan api, masak sampai ikan masak.

Siap. Terai jangan tak terai.

=========================================
Ikan Bulan Bakar Pes Tomyam – Iwan D’Scarl Letta
=========================================

Bahan-bahan:

1. Ikan bulan (perap dengan garam, kunyit & sedikit asam jawa).
2. Bawang besar sebiji(potong halus).
3. Bawang putih 2ulas(potong halus).
4. Halia 1inci(potong halus).
5. Cili kering 10tangkai(blender).
6. 2 sudu pes tomyam adabi.

Cara-cara masak:

1. Gaul rata semua bahan pada ikan yg diperap.
2. Balut dengan daun pisang dan bakar sehingga masak.

Kesimpulan

Sebagai pemancing amat jarang sekali kita jumpa pemancing yang tidak memakan ikan. Jadi kebanyakan dari kita sudah tentu tahu serba-sedikit cara-cara memasak ikan yang dipancing. Terdapat pelbagai menu yang boleh di masak ikut citarasa masing-masing.

Apa yang penting pastikan anda sentiasa memerhati masakan anda supaya tidak menjadi menu yang tidak diingini seperti gambar dibawah ini. Hahaha 😀

Jika anda merasakan ada menu lain yang perlu dimasukkan sila share resepi ikan anda dengan kami. Ikut format yang sama seperti diatas supaya memudahkan rakan-rakan lain mencubanya.

Selamat mencuba 🙂

Nota:

Segala informasi yang diberi adalah berdasarkan best efforts untuk meluahkan pendapat dan ilmu yang telah diperolehi. Kami akan cuba perbaiki info dalam setiap artikel kami dari masa ke semasa untuk tujuan memperbetulkan apa yang kurang tepat. Ayat atau perkataan yang tidak sesuai mungkin telah digunakan dan ia adalah luar kawalan kerana kami telah mencuba sehabis baik. Jika ada cadangan sila komen. Kami akan membuat perubahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.