Memahami Asas Pancingan Aliran Jeram / Stream Fishing

Malaysia tidak terkenal dengan jenis pancingan yang lebih khusus / lebih fokus pada aspek teknikal. Biasanya kebanyakkan kaedah pancingan adalah lebih pada all rounder atau menjadikan setiap rod yang di keluarkan oleh pengeluar sebagai all rounder rod (belasah semua jenis ikan). Pemancing di Malaysia secara majoritynya masih belum lagi terdedah secara keseluruhan dalam pancingan teknikal seperti stream fishing yang akan kita bincang kali ini.

Ramai yang agak confuse dan tidak faham apa sebenarnya stream fishing bukan sahaja pemancing di Malaysia tetapi juga negara sekitarnya. Ini kerana kurangnya info yang lebih tepat, kurang membaca, dan tidak mengambil tahu akan jenis-jenis pancingan game ultralight yang ke arah lebih teknikal dan yang lebih mengejar kepuasan yang berbeza. Dan pandangan ini bukan merujuk kepada mana-mana individu tetapi lebih pada general.

Rata-rata pemancing kita lebih pada melenjan semua rod untuk satu game tanpa memperdulikan tujuan sebenar sesuatu rod itu dibuat. Lebih-lebih lagi rod yang berpoundage rendah di hentak untuk ikan yang tidak sesuai pada game ia direka tanpa mengambil kira spesifikasi pada rod yang diberi itu ada tujuannya.

Apa Itu Stream Fishing Atau Pancingan Jeram?

Dengan memahami perkataan stream anda seharusnya faham ia bermaksud jeram. Jeram biasanya ada arus yang laju, ada arus yang perlahan atau tenang, ada kawasan yang berbatu-batu, ada kawasan yang berpasir, ada kawasan yang penuh dengan struktur kayu yang dihanyutkan air, ada kawasan yang bersamai/rumput air, ada kawasan yang penuh dengan pokok-pokok rendah, sempit dan kurang cahaya dan sebagainya. Ini semua bergantung pada sesuatu tempat atau negara mengikut keadaan sungai dan kawasan masing-masing.

Jenis Pancingan Aliran Jeram

Pancingan jeram biasanya terbahagi kepada 2 iaitu jeram kecil (small stream) dan jeram besar (big stream). Di negara kita ia lebih pada small stream kerana sungai-sungai yang berjeram di negara kita adalah kecil keluasannya dan penggunaan rod pendek adalah lebih praktikal dan air jeram yang cetek amat sesuai dengan penggunaan gewang yang dalamnya sekitar 1-4 kaki dengan berat gewang tidak lebih berat.

Untuk kawasan big stream atau jeram besar biasanya keluasan sungai adalah berkali ganda dari jeram kecil. Kedalaman air juga jauh lebih dalam dari jeram kecil dan arus juga berlainan dengan kawasan jeram kecil. Jadi ia bergantung juga pada kawasan masing-masing kerana ada kawasan yang berarus laju dan dalam jadi pemilihan setup anda anda harus disesuaikan supaya ia dapat mengimbangi mengikut kawasan permainan dan target ikan anda.

Target Ikan

Jadi ikan yang ada di jeram di perairan kita ialah sebarau, tengas, seluang, bujuk, palas (sekitar kawasan yang lebih ke dalam), sikang, nyuar-nyuar, dan bermacam-macam lagi jenis lain. Dunia telah berubah, kawasan pancing bukannya seperti dahulu dimana amat mudah untuk mencari ikan besar. Banyak jeram-jeram besar dan dalam telah hapus akibat pembangunan / ekonomi. Jadi ikan jeram kita majoritinya adalah lebih kepada jeram kecil di mana saiznya sekitar 15cm ke bawah boleh di jadikan sebagai target utama.

Ikan yang berada di jeram kecil adalah lebih licik dari ikan yang berada di jeram besar kerana ruang yang amat kecil dan tahap kelihatannya adalah lebih tinggi. Biasanya ikan di jeram kecil cukup bijak menyorok dan cepat merasakan kehadiran entiti lain sebelum anda sempat melihatnya. Kadang-kadang ia berada ditepi kaki anda sahaja menyorok ditepi batu atau reba kayu.

Untuk jeram besar saiz ikan biasanya lebih besar dari jeram kecil. Saiz kebiasaan lebih daripada 15cm sehingga 30cm untuk game ultralight dan jika lebih besar dari itu mungkin rod light game lebih sesuai untuk digunakan. Jadi pemilihan setup yang sesuai harus di ambil kira sebagai satu elemen yang penting bagi mengelakkan ketidaksesuaian dengan target saiz ikan dan lokasi anda.

Jenis ikan biasanya sama dengan jeram kecil cuma yang membezakan ialah saiz ikan tersebut. Ada tempat mempunyai spesis yang berbeza jadi semua ini perlu di ambil kira sebagai panduan.

Pemilihan Panjang Rod

Panjang rod di jeram kecil biasanya tidak lebih dari 6 kaki menjadi pilihan utama untuk kaki pemancing stream fishing. Namun pada pendapat dan pengalaman saya rod pendek sekitar 5 kaki ke bawah adalah lebih sesuai dengan ketinggian kita sebagai rakyat Asia. Tidak lupa juga mengambil kira faktor seperti ketika anda berada di dalam air juga akan mempengaruhi dalam membuat pemilihan panjangnya sesuatu rod.

Mengapa rod pendek?

Ada beberapa sebab mengapa penggunaan rod pendek lebih sesuai iaitu:

1. Lokasi pancingan kita yang lebih sempit dan sungai jeram kita yang kecil serta penuh dengan pokok-pokok yang rendang membuatkan penggunaan rod pendek lebih praktikal.
2. Ketinggian pemancing kita hanya sekitar 5’6 secara majority jadi rod panjang akan menyusahkan semasa membuat aksi casting. Rata-rata teknik stream fishing lebih pada pitching / side cast / center cast / swing / drifting / snap cast dan bermacam-macam lagi teknik lain dimana fokusnya bukan terlalu pada overhead cast. Jadi rod yang pendek sesuai dengan ketinggian kita amat penting supaya tidak tersentuh air atau tanah semasa membuat lontaran.
3. Rod pendek juga lebih mudah menghantar gewang-gewang kecil yang dimana beratnya yang tidak melebihi 3g yang memerlukan momentum cepat tetapi harus disesuaikan dengan aksi rod yang sesuai untuk membuat lontaran pada target spot seperti poket-poket kecil, celah-celah pokok dan ruang-ruang yang sempit.

Mengapa pula rod panjang?

Untuk kawasan pancingan jeram besar yang rata-rata ada monster / predator yang besar pemilihan rod yang lebih panjang adalah lebih praktikal ini kerana keluasan spot pancing, kurangnya pokok-pokok rendah yang menganggu, saiz target ikan yang biasanya lebih besar dan tidak lupa kekuatan arus juga harus di ambil kira. Bermulalah dari sini semasa membuat pilihan. Biasanya rod sekitar 6 kaki ke atas yang mempunyai aksi fast menjadi pilihan utama bagi pemancing di jeram besar.

Berat Gewang

Untuk pancingan small stream biasanya berat gewang tidak melebihi 3g dan seringan 0.5g. Jarak lontaran yang biasa di jadikan sebagai panduan ialah sekitar 3 ke 15 meter maxima. Jadi dalam pancingan small stream fishing jarak lontaran (jauh) bukan menjadi faktor utama sebaliknya ketepatan menjadi satu perkara yang wajib kerana setiap lontaran yang tepat amat penting untuk mencari target spesis. Sebab itu ia di sesuaikan dengan panjang rod yang sesuai dengan keadaan lokasi pancingan yang lebih mencabar.

Jika kawasan anda jeram besar makan anda memerlukan jarak lontaran yang lebih jauh jadi pemilihan rod yang panjang dan aksi (action) yang sesuai seharusnya di titik beratkan. Termasuk pemilihan rod yang mampu membuat lontaran gewang / umpan yang lebih berat. Biasanya dalam situasi ini berat gewang dari 3-7g adalah lebih praktikal dan jika anda memerlukan gewang yang lebih berat maka gunalah rod yang ratingnya sesuai. Usahlah mendera rod ultralight anda dengan rating yang tidak disarankan. Dengan gewang yang lebih berat (3-7g untuk ultralight) boleh dijadikan pilihan yang lebih bijak kerana hanya anda tahu target ikan anda dan anda yang lebih faham dengan kawasan permainan anda.

Anda boleh gunakan umpan seperti soft plastic, micro spoon, minnow, pencil, popper dan sebagainya yang sesuai dengan target spesis anda. Pilihlah berat umpan yang sesuai dengan setup anda untuk memastikan kenikmatan rod yang anda gunakan.

Waktu Sesuai

Amat penting masa yang lebih sesuai / tepat dan waktu ia paling aktif untuk mencari ikan untuk pancingan jeram kecil. Biasanya seawal pagi semasa ia masih kelaparan dan petang adalah waktu yang paling sesuai. Namun, ia bergantung pada target ikan anda kerana tidak semua ikan makan di awal pagi seperti ikan Sikang di mana cuaca yang panas terik adalah waktu ia paling aktif.

Jadi memahami target spesis anda adalah amat penting sebelum memulakan sesi pancingan anda yang lebih efektif.

Pancingan jeram kecil biasanya pendek dan target spot biasanya dalam beberapa meter sahaja. Pastikan leader anda tegang jika anda menggunakan braided dan tip berada dalam posisi melentuk sedikit untuk membuat sentapan halus jika ada ikan yang menyerang umpan. Jadi pemilihan rod, tali dan umpan yang sesuai amat penting untuk memastikan target spesis anda dapat di daratkan.

Untuk jeram besar waktunya juga hampir sama cuma anda masih mampu membuat strike hampir setiap masa kerana mampu melontar gewang anda ke lokasi yang dikatakan lubuk dari jarak yang lebih ideal tanpa menganggu ikan.

Teknik Pancingan Jeram

Pancingan ikan jeram kecil biasanya lebih sensitif berbanding jeram besar namun langkah bijak perlu dibuat bagi mengelakkan ikan sedar kehadiran kita. Jadi pancing upstream (meranduk lawan arus) adalah satu teknik yang cukup berkesan untuk memikat ikan. Ini kerana jenis-jenis ikan predator ini akan sentiasa menunggu mangsa / makanan yang hanyut akibat arus. Kebiasaannya pemangsa akan menunggu sekitar arus yang laju, kawasan sekitar beting pasir, celah-celah kayu untuk membuat serangan. Jadi di sini jika anda membuat pancingan upstream melontar gewang / umpan ke atas dan membuat karauan mengikut arus akan lebih disukainya kerana sifat instinct (kebiasaan) menunggu mangsa yang lalai / pening di hanyutkan arus yang laju akan di serang terlebih dahulu sebelum ia sempat pulih atau sedar.

Bukannya tidak boleh melawan arus tetapi ia akan kurangkan peratus strike ikan. Agak sukar untuk ikan kecil melawan arus salah satu faktor dan faktor kedua ia bukan kebiasaan yang ada saling hubung kait dengan instinct ikan. Lagi satu faktor ialah renang umpan anda dari belakang ikan akan melalui sahaja tanpa di lihatnya. Ini berlainan jika anda membuat karauan mengikut arus kerana ia sentiasa berenang mengadap arus dan akan nampak jelas umpan yang lalu di hadapannya. Peratus strike adalah lebih tinggi berbanding yang sebaliknya.

Jenis Rod

Terdapat pelbagai jenis rod yang ada di pasaran anda cuma perlu rajin membaca dan menyesuaikan dengan anda.

Antaranya Kaki Bako rod tempatan yang di reka oleh Kanicen Nix amat sesuai untuk jenis pancingan stream fishing (jeram kecil) di negara kita. Rod Kaki Bako ini adalah trend dan ia di reka untuk dijadikan sebagai memberi ilham/idea dan titik permulaan untuk pemancing di Malaysia yang ingin menceburi game stream fishing dan target utama ialah ikan-ikan yang kecil bersaiz tidak lebih dari 15cm.

Rod ini yang memadankan 2 elemen utama iaitu pemancing Malaysia yang lebih suka rod panjang sedikit dimana rod ini panjangnya ialah 6 kaki (dibuat 6 kaki tujuan market target factor) dan berat lure yang tidak lebih dari 3g yang meletakkan ia sebagai rod XUL yang mempunyai blank yang amat sensitif dengan penggunaan single leg guide yang lebih ringan. Guide sistem yang digunakan lebih sesuai dan cukup untuk area stream fishing kerana kita bukan target ikan besar. Penggunaan guide yang lebih berat akan membuatkan rod wobbling yang menyukarkan semasa membuat lontaran yang tepat. Jadi sebagai pereka rod saya memilih ringan dari accessories guide yang nampak gah.

Untuk info lanjut boleh check link di bawah ini:

Kanicen Nix – Kaki Bako Versi Bahasa

Rod lain yang boleh anda beli untuk di sesuaikan dengan stream fishing ialah dari brand-brand besar seperti Shimano Cardiff, Daiwa Wise dan Daiwa Presso V yang mempunyai pelbagai variasi dari berat lure ke panjang yang boleh disesuaikan dengan pemancing. Ia di reka untuk kedua-dua jenis pancingan small stream dimana ada rod yang panjangnya cuma 4’7 dan ada yang panjangnya lebih 7 kaki untuk big stream fishing.

Banyak lagi rod stream fishing lain yang ada di pasaran seperti Majorcraft Troutino, Daiwa Silver Creek, Majorcraft Fine Tail X Stream dan macam-macam lagi brand lain yang ada boleh dijadikan sebagai pilihan. Carilah rod yang anda rasa sesuai dengan lokasi pancingan anda.

Jenis Reel

Pemilihan reel juga memainkan peranan penting dalam pancingan jeram kecil dimana reel yang mempunyai shallow spool (spool cetek) sesuai dijadikan pilihan yang tepat kerana dapat melancarkan proses membuat casting gewang-gewang kecil. Reel seperti Shimano Soare 500s, Cardiff, Soare C2000SSPG, dari Daiwa seperti Presso adalah antara yang mudah di dapati dan sesuai digunakan.

kanicen-nix-kaki-bako-drag-standard-2.7kg-rules-of-thumb

Antara lagi satu faktor yang penting ialah mengambil kira berat yang sesuai dengan rod yang ingin anda gabungkan. Amat penting untuk anda membeli rod yang sesuai dengan reel bukan sebaliknya. Reel beratnya sekitar 180g kebawah boleh dijadikan sebagai pilihan yang bijak.

Boleh baca artikel ini untuk tujuan ilmu kerana kesilapan memilih reel yang sesuai dengan rod boleh mengakibatkan banyak isu-isu yang tidak di sangka.

Punca Tali Bersimpul / Wind Knot Pada Setup Spinning

Namun pemilihan ini bergantung pada kemampuan anda. Ukur poket dahulu sebelum membuat pilihan yang sesuai.

Kesimpulan

Harap dengan info ringkas dan asas yang diberi di atas mampu memberi anda idea untuk memahami apa itu stream fishing atau pancingan aliran jeram. Tujuan artikel ini lebih pada memberi anda idea supaya anda dapat asas dalam memilih peralatan mancing (rod, reel, tali, lure, etc) yang sesuai dengan game yang ingin anda ceburi. Ingat pancingan jeram mungkin tidak sama dengan kawasan rakan anda yang lain jadi amat penting untuk anda menyesuaikannya supaya dapat menikmati game stream fishing dengan lebih efektif.

Apa pun anda harus juga sedar tidak semua produk yang direka itu sesuai dengan kawasan dan cara anda. Kadang-kadang anda yang perlu menyesuaikannya untuk pancingan yang lebih bermotif. Jadi jangan berhenti belajar, sentiasa majukan diri dengan benda-benda baru supaya pancingan anda menjadi lebih menarik dan mampu memberi anda senyuman sebagai tanda kepuasan dengan hobi yang mementingkan jiwa.

Berharap anda lebih jelas selepas ini. Nantikan artikel kami yang akan menyentuh lebih detail berkenaan dengan pancingan jeram.

Nota:

Segala informasi yang diberi adalah berdasarkan best efforts untuk meluahkan pendapat dan ilmu yang telah diperolehi. Kami akan cuba perbaiki info dalam setiap artikel kami dari masa ke semasa untuk tujuan memperbetulkan apa yang kurang tepat. Ayat atau perkataan yang tidak sesuai mungkin telah digunakan dan ia adalah luar kawalan kerana kami telah mencuba sehabis baik. Jika ada cadangan sila komen. Kami akan membuat perubahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.